KUALA LUMPUR 23 Jan — Keupayaan Kobay Technology Berhad menukar operasi kurang dimanfaatkan kepada perniagaan pembuatan pelayan kecerdasan buatan (AI) diyakini menjana hasil lebih baik.
Menurut RHB Research, perubahan itu dinilai positif kerana produk ini berasaskan margin tinggi dan dilihat sebagai faktor amat kritikal yang mampu mencetuskan titik perubahan kepada pendapatan syarikat.
Firma itu berkata, penstrukturan semula strategik tersebut hadir pada masa yang tepat, selaras dengan lonjakan pelaburan pusat data (DC) di Malaysia dan peningkatan pesat penggunaan pelayan AI.
"Kami yakin, peralihan ini dengan pelaburan sekitar RM45 juta untuk menaik taraf infrastruktur elektrik, dijangka mengukuhkan keterlihatan hasil jangka sederhana Kobay," katanya dalam nota hari ini.
Selain itu, RHB Research menekankan penggunaan semula fasiliti syarikat tersebut seluas 16,300 meter persegi di Perai, Pulai Pinang sebagai hab pembuatan, berupaya meningkatkan penyerapan kos tetap.
Aset berkenaan tambah firma penyelidikan itu, sudah lengkap dengan kemudahan pemasangan dan ujian ‘burn-in’ membolehkan Kobay menawarkan perkhidmatan pembuatan hujung ke hujung bagi pelayan AI.
Model perkhidmatan sahaja yang diguna pakai, tanpa pendedahan kepada kos perolehan komponen atau cip, turut mengurangkan risiko margin rendah yang kelaziman dalam kontrak jenis berskala besar.
Keadaan tersebut jelas RHB Research, membolehkan Kobay mengekalkan tahap kualiti pendapatan yang lebih baik, dengan margin bersih dijangka berupaya mencecah kira-kira 21% pada suku pertama FY26.
"Aktiviti pembuatan pelayan AI sudah beralih daripada fasa perintis kepada sumbangan komersial, dengan hasil mula diiktiraf oleh kumpulan berkenaan sejak September 2025," kata firma berkenaan.
Antara pelanggan awal termasuk penyedia pelayan AI terbesar di China, dengan keterlihatan tempahan sekurang-kurangnya untuk tempoh 12 bulan akan datang, terutama daripada pengendali DC tempatan.
RHB Research mengunjurkan perniagaan pelayan AI menyumbang tambahan 26% kepada pendapatan pada FY26 dan meningkat kepada 31% pada FY27, meletakkan Kobay kembali kepada tahap keuntungan puncak.
Di luar segmen AI, ia menjangkakan perniagaan sedia ada kekal berdaya tahan, disokong pemulihan kitaran dalam industri semikonduktor serta permintaan kukuh daripada sektor aeroangkasa.
"Tempahan pelanggan menyumbang kira-kira 11% hasil kumpulan itu pada 1QFY26, dijangka naik sejajar pelaburan berterusan banyak syarikat penerbangan dalam pembaharuan dan perluasan armada," katanya.
Dari sudut penilaian, RHB Research menetapkan nilai saksama RM3.33 sesaham dan menyifatkan saham Kobay masih menarik pada penilaian sekitar sembilan kali nisbah harga kepada pendapatan FY27.
Bagaimanapun, firma itu mengingatkan risiko utama termasuk kehilangan pelanggan utama, gangguan rantaian bekalan, kelembapan sektor tertentu, serta turun naik mata wang asing. - DagangNews.com








