Hasil AWC Berhad susut kepada RM105.5 juta pada 2QFY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil AWC Berhad susut kepada RM105.5 juta pada 2QFY26

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Feb – AWC Berhad mencatatkan prestasi kewangan yang lebih sederhana bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (1HFY26).

 

Bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Disember 2025, kumpulan itu merekodkan hasil sebanyak RM203.2 juta berbanding RM211.2 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Keuntungan bersih menyusut kepada RM8.2 juta daripada RM12.5 juta, terutamanya disebabkan kelembapan pasaran Timur Tengah yang menjejaskan sumbangan Bahagian Alam Sekitar serta kadar pemenuhan dan penyerahan pesanan yang lebih rendah dalam Bahagian Rel.

 

Bagi suku kedua FY26 (2QFY26), hasil dicatatkan ialah RM105.5 juta, susut berbanding RM116.8 juta setahun lalu manakala keuntungan bersih berjumlah RM4 juta, menurun berbanding RM6.3 juta sebelumnya, didorong faktor yang sama.

 

Bagaimanapun, Bahagian Kejuruteraan menunjukkan perkembangan positif apabila hasil meningkat 29.9% tahun ke tahun kepada RM54.5 juta daripada RM41.9 juta, disokong kemajuan projek yang lebih tinggi dalam segmen pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara (HVAC).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan/Presiden AWC, Datuk Ahmad Kabeer Mohamed Nagoor berkata trajektori pendapatan kumpulan sejajar dengan kadar perolehan kontrak baharu yang dimenangi sebelum ini.

 

Menurut beliau, kelembapan berpanjangan di Timur Tengah terus memberi kesan kepada Bahagian Alam Sekitar, manakala pengiktirafan hasil daripada projek yang baru diperoleh hanya bermula pada 2026. 

 

"Pasaran Timur Tengah dijangka kekal lembap dalam tempoh terdekat, namun keadaan itu dijangka sebahagiannya diimbangi oleh sumbangan daripada Bahagian Fasiliti, Kejuruteraan dan Rel," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sehingga akhir Disember 2025, buku tempahan kumpulan berjumlah RM910 juta, dengan kira-kira RM450 juta diperoleh dalam FY26. 

 

Kedudukan tersebut memberikan keterlihatan pendapatan yang lebih jelas bagi tahun-tahun mendatang, selain dijangka menyokong momentum prestasi menjelang FY27 apabila projek yang baru dimulakan mula menyumbang secara berperingkat.

 

Dari segi ganjaran kepada pemegang saham, AWC mencadangkan dividen interim sebanyak 0.5 sen sesaham bagi suku semasa yang dikaji.

 

AWC merupakan kumpulan perkhidmatan kejuruteraan tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia dengan empat teras utama iaitu pengurusan fasiliti, alam sekitar, kejuruteraan dan rel, serta mempunyai kehadiran serantau di Asia dan Timur Tengah - DagangNews.com