KUALA LUMPUR 1 April — Ketegangan geopolitik semakin meruncing di Timur Tengah kini mencetuskan gangguan serentak bekalan urea di dua laluan maritim kritikal dunia, menurut MBSB Research.
Tambah firma penyelidikan itu, situasi semasa melonjakkan harga baja urea dan membuka ruang bagi penilaian semula prospek sektor petrokimia global terutama PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG).
Jelasnya, perkembangan terbaharu konflik di rantau berkenaan mewujudkan situasi ‘dual chokepoints’ atau halangan berganda yang menjejaskan aliran perdagangan minyak mentah dan produk petrokimia.
"Gangguan di dua laluan strategik ini meningkatkan risiko bekalan secara berterusan apabila pemain pasaran mempersoalkan keupayaan logistik maritim dan akses eksport," kata MBSB Research dalam nota.
Keadaan ini diterjemahkan secara langsung dalam pasaran baja apabila harga urea melonjak 12.78% dalam sehari kepada AS$750 (RM3,026) satu tan metrik, selain meningkat 28.9% sepanjang Mac 2026.
Kenaikan harga itu kata firma tersebut, berlaku ketika musim penanaman musim bunga di pasaran utama seperti Amerika Syarikat (AS), Eropah dan China, yang lazim menyaksikan lonjakan permintaan baja.
MBSB Research berkata, sifat urea itu sendiri sebagai input kritikal pertanian yang sukar diganti turut mendorong pembelian panik dalam kalangan pembeli antarabangsa bagi memperoleh bekalan baharu.

"Situasi kali ini mempercepatkan aktiviti perolehan dan meningkatkan lagi ketidaktentuan harga, namun dilihat sebagai memberi kesan positif kepada PCG untuk jangka pendek," kata firma berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, harga metanol turut mencatat peningkatan 4.5% dalam sehari dan naik hampir 29.8% sepanjang bulan sama, mencerminkan kekangan bekalan meluas ke segmen hiliran kimia.
Justeru, mengulas implikasi terhadap PCG, MBSB Research menaik taraf saranan kepada ‘beli’ daripada ‘neutral’, dengan harga sasaran (TP) disemak naik kepada RM6.60 berbanding RM3.01 sebelum ini.
Menurutnya, dalam persekitaran kos yang semakin tidak menentu, daya saing kos menjadi pembeza utama dan PCG berada dalam kedudukan kukuh berikutan akses kepada bahan mentah pada harga lebih rendah.
"Kumpulan ini mampu meraih bahan mentah stabil menerusi perjanjian jangka panjang dengan syarikat induk, dan struktur ini memberikan perlindungan relatif terhadap turun naik harga," kata firma itu.
Keadaan tersebut jelas MBSB Research, menyokong ketahanan margin syarikat berkenaan ketika industri petrokimia di seluruh dunia berdepan dengan isu tekanan kos yang mungkin menjejaskan pertumbuhan.
Sehubungan itu, ia melihat PCG sebagai antara penerima manfaat utama dalam persekitaran harga produk yang meningkat, didorong oleh risiko bekalan global yang semakin ketara. - DagangNews.com








