Harga simen mungkin naik lagi disebabkan kekurangan lori - UOBKH  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga simen mungkin naik lagi disebabkan kekurangan lori - UOBKH 

Gambar Hiasan
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 13 Jan - Firma penyelidikan UOBKH Research tidak menolak kemungkinan berlaku satu lagi pusingan kenaikan harga simen didorong isu kekurangan lori susulan penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap lori komersial.

 

Firma itu berkata, meskipun syarikat-syarikat simen telah melaksanakan kenaikan harga sebanyak 13% hingga 15% pada November 2025, langkah tersebut tidak sepenuhnya mengimbangi kos pengedaran yang lebih tinggi.

 

Dalam nota penyelidikannya terhadap syarikat simen Hume Cement Industries Bhd, UOBKH Research berkata, penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap lori komersial yang terlebih muatan telah menyebabkan peningkatan serta-merta dalam kos pengedaran bagi simen berbungkus dan simen pukal.

 

 

 

 

 

 

“Bagi mengurangkan impak tersebut, Hume telah melaksanakan kenaikan harga sebanyak 13% hingga 15% pada November 2025. 

 

"Walaupun langkah ini mungkin tidak sepenuhnya mengimbangi kos pengedaran yang lebih tinggi dan berpotensi mengakibatkan kelewatan penghantaran berikutan ketersediaan lori yang terhad, kami tidak menolak kemungkinan berlakunya satu lagi pusingan kenaikan harga, didorong oleh kekurangan lori dalam keadaan permintaan simen yang kukuh di Malaysia Barat,” katanya.

 

Bagaimanapun, firma tersebut percaya pihak pengurusan mampu mengurangkan cabaran ini melalui penggunaan lori yang lebih cekap serta kadar pusing ganti yang lebih tinggi.

 

Sementara itu mengulas perkembangan semasa syarikat tersebut, UOBKH Research berkata, kedudukan tunai bersih Hume dijangka meningkat kepada kira-kira 15% daripada permodalan pasaran semasanya susulan pelupusan perniagaan konkritnya yang mencatatkan kerugian.

 

Bahagian konkrit, yang menyumbang 5.6% daripada hasil pengeluar simen itu bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (TK25), sedang dijual kepada YTL Corp Bhd pada harga RM215 juta.

 

Diumumkan bulan lalu, cadangan pelupusan tersebut merupakan sebahagian daripada strategi Hume untuk melepaskan aset bukan teras, memperkemas fokus operasi serta mengagihkan semula modal kepada operasi teras simennya.

 

UOBKH Research berkata pelupusan itu dijangka menjana “anggaran keuntungan pelupusan sekali sahaja sebanyak RM185.7 juta, termasuk penebusan stok pinjaman tidak bercagar boleh tukar yang boleh ditebus berjumlah RM42.5 juta”.

 

Firma penyelidikan itu turut menyatakan kedudukan tunai semasa Hume adalah kira-kira 6% daripada permodalan pasarannya setakat suku pertama FY26. Berdasarkan harga saham semalam sebanyak RM3.50, permodalan pasaran kumpulan itu ialah RM2.54 bilion.

 

 

 

 

 

 

Tertakluk kepada kelulusan pemegang saham, urus niaga tersebut dijangka selesai pada suku kedua 2026, sekali gus meletakkan Hume dalam kedudukan kewangan yang lebih kukuh pada ketika ramai rakan industri masih beroperasi dengan hutang bersih.

 

“Oleh itu, kami menjangkakan peningkatan dalam pembayaran dividen bermula suku ketiga FY26, selaras dengan corak pengagihan sejarah syarikat pada suku pertama dan suku ketiga,” katanya. - DagangNews.com