KUALA LUMPUR 22 Dis - Harga emas dunia melonjak ke paras tertinggi hari ini, didorong oleh permintaan safe‑haven yang meningkat dan jangkaan pemotongan kadar faedah di Amerika Syarikat.
Spot emas naik 1.2% kepada AS$4,391.92 seauns (kira-kira RM17,900), manakala spot perak turut melonjak 2.7% kepada paras tertinggi sejarah AS$69.23 seauns (kira-kira RM283), menurut laporan Reuters.
Bullion kini mencatat kenaikan sekitar 67% setakat tahun ini, memecah pelbagai rekod termasuk menembusi penanda AS$3,000 dan AS$4,000 seauns buat kali pertama, dan dijangka mencatat pulangan tahunan terbesar sejak 1979.
Perak pula melonjak 138% setakat tahun ini, jauh mengatasi emas, disokong oleh aliran pelaburan yang kukuh dan kekangan bekalan yang berterusan.
Penganalisis senior StoneX, Matt Simpson berkata, memandangkan emas telah meningkat 4% bulan ini dan hampir ke akhir tahun, pelabur optimis mungkin perlu berhati-hati kerana jumlah dagangan dijangka menurun dan risiko pengambilan untung meningkat.
Emas, yang secara tradisinya dianggap sebagai aset selamat, disokong oleh ketegangan geopolitik dan perdagangan yang meningkat, pembelian berterusan oleh bank pusat, serta jangkaan kadar faedah yang lebih rendah tahun depan.
Dolar AS yang lebih lemah turut memberikan dorongan tambahan dengan menjadikan logam ini lebih murah bagi pembeli luar negara.
Pasaran kini menjangkakan dua pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS pada 2026, walaupun Fed memberi isyarat berhati-hati.
Simpson menambah bahawa perlahan dalam pasaran pekerjaan AS dan Fed yang lebih dovish boleh terus mendorong harga emas meningkat.
Di pasaran logam lain, platinum melonjak 4.1% kepada AS$2,054.25 seauns (RM8,380), paras tertinggi lebih 17 tahun, manakala palladium naik 4% kepada AS$1,781.32 seauns (RM7,260), hampir paras tertinggi tiga tahun. - DagangNews.com








