KUALA LUMPUR 11 Nov – Polymer Link Holdings Berhad dijangka menarik perhatian pelabur selepas dua firma broker menaikkan nilai wajar saham syarikat itu kepada RM0.31 dan RM0.32 sesaham, berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) RM0.25 dengan potensi kenaikan 28%.
Kenaikan harga sasaran ini disokong oleh strategi pengembangan syarikat ke pasaran Australia dan jangkaan peningkatan pesanan pada tahun kewangan 2026.
Polymer Link merupakan pengeluar serbuk plastik dan masterbatch dengan pengalaman lebih 11 tahun, membekalkan produk untuk aplikasi umum dan khas.
Produk syarikat disalurkan kepada pengeluar produk plastic berongga, pembuat komponen plastik serta pelanggan secara langsung, manakala operasi syarikat merangkumi kilang di Malaysia, Filipina dan India serta pejabat jualan di Australia dan Amerika Syarikat.
Malacca Securities berkata, tahun kewangan 2026 dijangka menyaksikan pertumbuhan pesanan yang kukuh Polymer Link terutamanya selepas penubuhan gudang baharu di Australia.
Gudang seluas kira-kira 2,500 kaki persegi berhampiran Pelabuhan Brisbane dan pelanggan utama Tankpool dijangka membolehkan Polymer Link memenuhi permintaan tinggi dalam industri plastik Australia yang sedang menghadapi kenaikan kos input dan tekanan polisi ESG.
Malacca Securities menilai P/E sasaran pada 16 kali berdasarkan EPS FY26, yang menghasilkan nilai wajar RM0.32 sesaham.
“Kenaikan harga sasaran ini adalah wajar kerana pesaing sama di sektor plastik mempunyai P/E antara 14.4 hingga 15.9 kali, justeru menandakan Polymer Link berada pada paras nilai yang kompetitif,” kata firma itu dalam nota kajiannya.
Dalam pada itu, TA Research pula berkata, harga IPO 25 sen sesaham itu meletakkan saham Polymer Link pada gandaan harga-keuntungan (PER) sebanyak 10.2 kali berasaskan pendapatan sesaham teras (EPS) bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2024 (FY2024).
“Kami membuat penilaian setara dengan rakan global dari Amerika Syarikat dan Filipina. Berdasarkan itu, kami menilai saham ini pada 10 kali EPS teras 2026, dengan nilai saksama diunjur pada 31 sen sesaham.
“Kami percaya penilaian ini munasabah memandangkan Polymer Link mempunyai permodalan pasaran yang lebih kecil tetapi pulangan atas ekuiti (ROE) yang lebih tinggi berbanding pesaing,” kata firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.
Bagi unjuran pendapatan, TA Research menganggarkan kumpulan itu akan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 7.8%, 12.6% dan 13.5% kepada RM14 juta, RM16 juta dan RM19 juta masing-masing bagi FY2025, FY2026 dan FY2027.
Anggaran tersebut dibuat berdasarkan jangkaan pertumbuhan hasil sebanyak 12%, 15% dan 16% serta margin keuntungan teras masing-masing pada 9.1%, 8.9% dan 8.7% bagi FY2025 hingga FY2027.
Polymer Link akan menggunakan hasil IPO untuk membiayai pengembangan, termasuk penubuhan gudang Australia, yang dianggarkan menelan kos RM5 juta.
Langkah ini dijangka memberi kelebihan kos berbanding pengeluar tempatan Australia, sekaligus meningkatkan daya saing syarikat di pasaran antarabangsa.
Syarikat merancang untuk menumpukan pada operasi teras dan menghentikan aktiviti perdagangan bukan teras bagi memperkukuh fokus perniagaan.
Dengan kapasiti kilang Malaysia dijangka mencapai lebih 70 peratus pada FY26 dan lebih 80 peratus pada FY27, Polymer Link dijangka dapat mengekalkan kecekapan pengeluaran sambil memenuhi permintaan pasaran global.
IPO syarikat dijadualkan ditutup pada 11 November dengan penyenaraian di Pasaran ACE pada 25 November. - DagangNews.com








