KUALA LUMPUR 2 Julai – BMI, unit penyelidikan di bawah Fitch Solutions, mengekalkan unjuran harga purata tahunan bagi kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) yang disenaraikan di Bursa Malaysia akan kekal sekitar RM4,150 satu tan untuk tahun 2025.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, BMI berkata, harga penutup kontrak MSM pada 27 Jun adalah RM3,986 satu tan, menjadikan purata harga sejak awal tahun ini ialah RM4,360 satu tan.
Sehubungan itu, firma penyelidikan itu menjangkakan harga MSM akan bergerak antara RM3,800 hingga RM4,000 satu tan bagi tempoh berbaki 2025.
BMI menjelaskan harga MSM mengalami tekanan ketara sepanjang suku kedua 2025 apabila susut sebanyak 17.7% dipengaruhi oleh harga minyak mentah global yang lemah dan permintaan yang perlahan.
Bagaimanapun, BMI menjelaskan pasaran akan kembali menerima sokongan pada Jun berikutan peningkatan sementara didorong situasi geopolitik semasa dan dasar baharu.
"Harganya meningkat sekitar 6% antara 12 hingga 16 Jun lalu apabila harga minyak mentah global melonjak disebabkan konflik Israel-Iran.
"Lonjakan ini dikukuhkan lagi dengan pengumuman Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (EPA) mengenai cadangan peningkatan sasaran campuran bio bahan api bagi 2026 dan 2027 dengan sasaran 67.5%," katanya.
Tambah BMI, walaupun cadangan itu lebih memberi manfaat kepada harga minyak kacang soya, permintaan dalam pasaran minyak makan akan terus membantu menyokong harga minyak sawit.
Dalam pada itu, BMI menjangkakan pengeluaran MSM Malaysia bagi musim 2025/2026 akan mencecah 19.5 juta tan, naik 0.5% berbanding tahun sebelumnya.
"BMI juga menjangkakan pemulihan pengeluaran MSM dalam bulan-bulan seterusnya, dan unjuran itu terbukti tepat apabila data terkini (Mei 2025) menunjukkan jumlah pengeluaran bagi April dan Mei meningkat kepada 3.5 juta tan, naik 7.8% berbanding tempoh sama tahun lalu.
"Pemulihan ini telah membantu meredakan sebahagian kekangan bekalan dalam pasaran global yang hanya menjejaskan sedikit harga komoditi itu," katanya. - DagangNews.com








