Harga minyak sawit mentah naik susulan perang di Timur Tengah beri kelebihan kepada United Malacca | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak sawit mentah naik susulan perang di Timur Tengah beri kelebihan kepada United Malacca

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 1 April — Perang di Timur Tengah yang melonjakkan harga minyak global dan mengukuhkan ekonomi biodiesel menjadi pemangkin utama kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM).


Perkembangan positif tersebut menurut TA Securities, sekali gus memberi kesan limpahan kelebihan kepada banyak saham syarikat sektor perladangan tempatan sendiri termasuk United Malacca Berhad.


Justeru firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi kepada RM7.34 sesaham berbanding RM7.29 sebelum ini, disokong prospek pendapatan yang diramal semakin kukuh.


"Prestasi suku ketiga tahun kewangan 2026 mengatasi jangkaan apabila keuntungan bersih teras United Malacca naik 1.5% tahun ke tahun (YoY) kepada RM37.2 juta, walaupun hasil kekal mendatar," katanya.


Prestasi baik tersebut tambah TA Securities, turut dipacu sumbangan lebih kukuh daripada operasi perladangan syarikat berkenaan di Malaysia yang mengimbangi pelbagai kelemahan di Indonesia.


Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan, keuntungan teras melonjak 51.5% kepada RM127.1 juta, disokong peningkatan hasil sebanyak 15.9% serta penambahbaikan keuntungan di kedua-dua pasaran utama.


Pengeluaran tandan buah segar (TBS) jelas firma penyelidikan berkenaan, turut bertambah 18.4% kepada 407,400 tan, hasil peningkatan produktiviti ladang di Sabah serta pokok matang di Indonesia.
 

United Malacca_DagangNews



"Harga purata MSM dalam tempoh itu, namun susut 3.8% kepada RM4,149 setiap tan di Malaysia, dan jatuh 6.5% di Indonesia iaitu RM3,553, manakala prestasi harga isirung sawit (PK) kukuh," katanya.


TA Securities justeru menaikkan unjuran hasil United Malacca bagi FY26 hingga FY28 antara 16.5% hingga 21.4%, sejajar jangkaan pertumbuhan TBS lebih tinggi serta andaian harga MSM lebih baik.


Pengurusan syarikat turut menyasarkan pertumbuhan pengeluaran TBS antara 8% hingga 10% bagi FY26, berbanding 3% hingga 5% sebelum ini, didorong profil optimum umur pokok dan kecekapan operasi.


Sementara itu, isu ketegangan di rantau Timur Tengah yang meningkatkan kos minyak dan logistik global, dijangka memperkukuh daya tarikan biodiesel serta menyokong permintaan minyak sawit.


"Kenaikan harga diesel menjadikan mandat biodiesel seperti di Indonesia lebih berdaya maju, di samping aktiviti pembelian di Asia yang menyokong harga dalam jangka pendek," kata TA Securities.


Sebagai syarikat perladangan huluan tulen, United Malacca berada di kedudukan strategik untuk memanfaatkan sebarang kenaikan harga MSM dan mengukuhkan prospek pertumbuhan. - DagangNews.com