Harga minyak sawit mentah diunjur antara RM4,000 hingga RM4,200 setiap tan pada 2026 - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak sawit mentah diunjur antara RM4,000 hingga RM4,200 setiap tan pada 2026 - penganalisis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Okt - Penganalisis mengekalkan saranan "neutral" terhadap sektor perladangan dan mengunjurkan purata harga minyak sawit mentah (MSM) berada pada paras antara RM4,000 hingga RM4,200 setiap tan pada tahun 2026.

 

Berdasarkan statistik terkini Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi bulan September, inventori minyak sawit tempatan meningkat kepada 2.36 juta tan, berikutan eksport yang lebih tinggi diimbangi penggunaan domestik yang lemah, peningkatan import serta paras stok permulaan yang  tinggi.

 

MBSB Research berkata, prospek sektor itu masih “kabur” dari segi imbangan bekalan dan permintaan, memandangkan potensi kekurangan bekalan minyak sawit mungkin berlaku susulan dasar biodiesel agresif Indonesia, termasuk pelaksanaan B50 yang dijangka bermula pada separuh kedua tahun 2026.

 

Permintaan global juga dilihat masih lemah walaupun jurang diskaun harga antara minyak sawit dan minyak kacang soya semakin melebar, mencerminkan sentimen pasaran yang berhati-hati.

 

“Kami telah menurunkan penarafan terhadap Ta Ann Holdings Berhad dan Sarawak Plantation Berhad berikutan potensi kenaikan yang terhad,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Sementara itu, Phillip Capital yang mengunjurkan harga purata MSM sebanyak RM4,280 setiap tan bagi 2025 dan RM4,000 setiap tan bagi 2026, berkata, unjuran tersebut mencerminkan jangkaan pasaran yang seimbang di tengah-tengah ketidaktentuan harga komoditi global.

 

Bagi pendedahan sektor perladangan, firma itu menyarankan "beli" terhadap Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) dengan harga sasaran (TP) RM22.62 sesaham, disokong operasi huluan yang berskala, struktur kos yang efisyen serta kedudukan kewangan yang kukuh.

 

TA Securities pula mengekalkan saranan "beli" terhadap TSH Resources Berhad dan United Malacca Berhad dengan TP masing-masing RM1.30 dan RM6.29 sesaham.

 

Firma penyelidikan itu turut mengekalkan penarafan "pegang" terhadap KLK dengan TP RM21.21 sesaham, sambil mengekalkan saranan "jual" untuk IOI Corp Berhad dan Kim Loong Resources Berhad.

 

Antara risiko utama yang boleh menjadi faktor peningkatan kepada sektor itu termasuk pengeluaran kacang soya di Amerika Selatan yang lebih rendah daripada jangkaan pasaran, pemulihan permintaan global yang lebih kukuh, pengeluaran minyak sawit yang lebih rendah daripada jangkaan, serta penurunan ketara dalam kos pengeluaran.

 

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengekalkan saranan "overweight" terhadap sektor perladangan, disokong pandangan positif terhadap harga MSM dalam jangka pendek hingga sederhana.

 

“Kami lebih menyukai syarikat perladangan yang mempunyai pendedahan besar terhadap operasi huluan di Malaysia kerana sensitiviti yang tinggi terhadap harga MSM dan risiko rampasan tanah yang minimum,” katanya.

 

SD Guthrie Berhad merupakan pilihan utama HLIB dengan harga sasaran RM5.76 dan Hap Seng Plantations Holdings Berhad dengan harga sasaran RM2.29 sesaham.- DagangNews.com