Harga minyak sawit mentah dijangka stabil pada RM4,000 satu tan sepanjang 2026 - Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak sawit mentah dijangka stabil pada RM4,000 satu tan sepanjang 2026 - Kenanga Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 16 Jan - Harga minyak sawit mentah (CPO) yang kebelakangan ini menunjukkan trend penyusutan dijangka kekal pada paras kukuh dalam tempoh terdekat, disokong oleh keadaan bekalan minyak boleh makan global yang masih ketat, menurut Kenanga Research.

 

Firma penyelidikan itu mengunjurkan harga purata CPO menurun sedikit daripada RM4,308 satu tan metrik pada CY25 kepada sekitar RM4,000 satu tan metrik sepanjang CY26. 

 

"Unjuran ini mengambil kira jangkaan peningkatan bekalan yang sederhana, namun paras inventori global dijangka kekal ketat dan tidak menunjukkan pemulihan yang ketara," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut Kenanga, hasil pengeluaran yang lemah di Indonesia pada tahun kalendar 2024 (CY24) telah mendorong harga CPO melonjak ke paras RM4,700 hingga RM4,800 satu tan metrik sepanjang suku keempat 2024 dan suku pertama 2025. 

 

Bagaimanapun, harga mula menyederhana selepas itu dan kini berada sekitar RM4,000 satu tan metrik.

 

Katanya, pendirian terkini Indonesia untuk mengekalkan mandatori biodiesel B40, serta penangguhan pelaksanaan campuran biodiesel B50 melepasi pertengahan tahun kalendar 2026 (CY26), menyokong unjuran harga yang lebih berhati-hati dalam tempoh sederhana.

 

“Faktor-faktor ini memberi isyarat bahawa sokongan permintaan daripada sektor biodiesel akan kekal, namun tanpa lonjakan tambahan dalam masa terdekat,” katanya.

 

Kenanga berkata, penilaian semula (re-rating) sektor perladangan kekal sederhana walaupun prestasinya menunjukkan peningkatan sejak awal tahun, dengan Indeks Perladangan KL mencatat kenaikan sekitar 7% setakat tahun kalendar 2025 (YTD CY25), disokong oleh pendapatan yang lebih kukuh, penilaian yang tidak menuntut serta sifat defensif sektor tersebut.

 

Katanya, meskipun jumlah penggunaan biodiesel terus meningkat, lebih 70% minyak boleh makan global masih digunakan untuk tujuan makanan, di mana permintaan lazimnya lebih berdaya tahan dan kurang terjejas oleh kitaran ekonomi. 

 

Sehubungan itu, prestasi pendapatan syarikat perladangan lebih banyak dipengaruhi oleh pergerakan harga CPO yang bertindak balas terhadap perubahan penawaran dan permintaan, berbanding kitaran perniagaan secara keseluruhan.

 

Dari sudut kewangan, sektor ini kata Kenanga dilihat berada dalam kedudukan yang selesa dengan nisbah penggearan bersih dilaporkan sekitar 31%. 

 

Kenanga turut menegaskan tahap penggearan sebenar adalah lebih baik, memandangkan nilai pasaran banyak ladang adalah jauh lebih tinggi berbanding nilai buku yang direkodkan.

 

“Secara keseluruhan, pelabur masih boleh menjangkakan hasil dividen sekitar 4% daripada kebanyakan syarikat perladangan,” katanya. - DagangNews.com