KUALA LUMPUR 25 Sept — Harga minyak sawit berpotensi meningkat sekitar 15% daripada paras semasa untuk melepasi RM5,000 (AS$1,191) setan menjelang akhir tahun, sebaik sahaja kitaran pengeluaran bermusim yang tinggi berakhir, menurut peniaga veteran Dorab Mistry.
Harga minyak masak paling banyak digunakan di dunia itu bahkan boleh melonjak ke RM5,500 – paras tertinggi sejak Jun 2022 – pada suku pertama tahun depan sekiranya pengeluar utama Indonesia terus merampas ladang sawit dan meningkatkan campuran biodiesel kepada 50%, kata Mistry, Pengarah Godrej International Ltd, dalam pembentangan slaid pada sebuah persidangan di Colombia.
“Pengeluaran minyak sawit kini sudah mendatar,” kata Mistry yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam perdagangan minyak sayuran, menurut laporan Bloomberg.

Pertumbuhan produktiviti minyak sawit telah merosot kepada sifar atau negatif, manakala tanaman kacang soya, bunga matahari dan biji sesawi pula tidak berkembang kerana harga biji minyak tidak menarik, jelasnya.
Kenyataan Mistry hadir ketika pelabur berdepan turun naik harga yang dipengaruhi ketegangan perdagangan dan ketidaktentuan bekalan.
Minyak sawit, yang digunakan dalam makanan dan juga biofuel, masih sukar mendapatkan semula momentum selepas kenaikan mendadak awal tahun ini.
Memandangkan minyak tropika ini sangat sensitif terhadap perubahan bekalan di negara pengeluar utama serta dasar tenaga, pengeluaran yang lebih lemah daripada jangkaan atau peningkatan penggunaan minyak sawit untuk bahan api boleh melonjakkan inflasi makanan global dan meningkatkan kos industri.
“Jika Indonesia beralih kepada B50, akan berlaku kekurangan minyak sawit dan harga akan melambung,” kata Mistry, sambil menambah bahawa negara Asia Tenggara itu wajar menarik balik moratorium ke atas ladang baharu kerana ia telah menyebabkan pengeluaran menjadi statik.
Namun katanya lagi, dasar Indonesia mengambil alih ladang persendirian yang “tidak sepenuhnya sah” menimbulkan kebimbangan besar kerana estet yang telah dirampas atau bakal diambil alih akan menyaksikan penurunan produktiviti.
Di Malaysia pula, pokok sawit semakin tua dan aktiviti penanaman semula sangat terhad, jelasnya.
Harga minyak kacang soya, pesaing terdekat minyak sawit dalam makanan dan bahan api, juga dijangka kekal kukuh berikutan dasar biodiesel Amerika Syarikat dan boleh mencecah 70 sen sepaun, iaitu lonjakan lebih 40% daripada paras semasa, kata Mistry. - DagangNews.com








