KUALA LUMPUR 11 Ogos – Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) menjangkakan persekitaran harga minyak rendah akan berterusan dengan harga kekal sekitar AS$64 hingga AS$65 setong, kata Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perniagaan Huluan, Mohd Jukris Abdul Wahab.
Beliau berkata, syarikat minyak nasional itu sedang menilai semula kecekapan operasi dan kos bagi menghadapi persekitaran harga rendah, serta mencabar pendekatan sedia ada dalam semua aspek – daripada penyelenggaraan, operasi lapangan, pengurusan logistik dan perolehan, hingga pengendalian kemudahan luar pesisir dan darat.
“Kami sedang menyemak kecekapan operasi dan kos kerana cara yang kita lakukan sejak 50 tahun lalu mungkin tidak lagi mampu mengekalkan daya saing pada masa hadapan,” katanya pada sesi taklimat bersama editor hari ini.
Turut hadir, Naib Presiden Kanan Aset Malaysia merangkap CEO PETRONAS Carigali Sdn Bhd, Hazli Sham Kassim.

Ditanya sama ada semakan operasi itu bermaksud pengurangan lagi tenaga kerja PETRONAS, Mohd Jukris berkata, syarikat menumpukan perhatian meningkatkan keupayaan syarikat, lebih berbanding fokus kepada soal tersebut.
Mohd Jukris turut berkata, persekitaran tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat telah memberi kesan kepada rantaian bekalan global.
“Tarif ini mempengaruhi cara kita berniaga. Satu-satunya langkah yang boleh diambil adalah memberi tindak balas secara dalaman dan menggerakkan usaha menjadi lebih cekap dari segi kos,” ujarnya.
Menjawab pertanyaan mengenai semakan portfolio, beliau berkata PETRONAS menilai keperluan membawa masuk rakan kongsi untuk mengurangkan pendedahan risiko, khususnya bagi aset yang memerlukan pelaburan modal tinggi tetapi memberikan nilai terhad.
“Kerjasama bukan sahaja membawa modal, malah falsafah dan standard operasi baharu. Dalam industri ini, kita tidak boleh beroperasi secara bersendirian. Kita mesti mengenal pasti rakan kongsi yang mampu mengendalikan aset tertentu dengan lebih cekap berbanding kita. Inilah cara terbaik untuk membuka nilai maksimum.
“Kita pernah melakukannya sebelum ini – di Mexico, sebagai contoh, dan di Azerbaijan beberapa tahun lalu,” katanya.
Menurut beliau, PETRONAS menjalankan semakan portfolio dari semasa ke semasa bagi memastikan aset kekal kompetitif, dengan setiap aset perlu memenuhi piawaian tertentu.
“Contohnya, ia mesti mempunyai harga pulang modal AS$50 setong atau kurang. Jika melebihi paras itu, timbul persoalan sama ada kita akan mengekalkan aset tersebut atau tidak.
“Kecekapan operasi juga menjadi kriteria utama. Kos pengeluaran seunit mesti kekal di bawah AS$6. Parameter ini menjadi panduan untuk setiap semakan portfolio,” jelasnya.
PETRONAS telah melihat evolusi dalam portfolio asetnya, termasuk penjualan aset gas di Azerbaijan dan, pada 2021 serta tahun lalu, pengurangan operasi di Mexico menerusi keluar dari lapan blok penerokaan luar pesisir.
Mohd Jukris berkata, perniagaan huluan PETRONAS sedang merangka masa depan industri minyak dan gas Malaysia dengan mengemudi penyelesaian inovatif yang mengimbangkan keselamatan tenaga dan kelestarian.
"Sebagai bukti komitmen ini, syarikat telah bekerjasama dengan BeicipFranlab dan AFED Digital untuk melaksanakan penyelesaian berasaskan AI yang merentasi rantaian nilai huluan.
"Kerjasama strategik ini akan menangani cabaran utama dalam penerokaan, pembangunan dan pengeluaran melalui aplikasi berimpak tinggi bagi meningkatkan kecekapan, ketepatan dan kualiti keputusan.
"Usaha ini melangkaui aspek teknologi semata-mata, mencerminkan dedikasi PETRONAS terhadap kecemerlangan operasi dan pembentukan sistem tenaga yang bersiap siaga untuk masa depan," kata beliau. - DagangNews.com








