KUALA LUMPUR 27 Mac – Kenaikan mendadak harga minyak mentah global kini menjadi pemangkin kritikal yang dijangka mempercepatkan peralihan pengguna Malaysia kepada kenderaan elektrik (EV).
Menurut CIMB Securities, harga minyak mahal berpotensi mendorong pengguna kurang membeli kenderaan berenjin petrol, sekali gus mengubah landskap sektor automotif tempatan yang semakin kompetitif.
Tambah firma penyelidikan itu, pembeli kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) segmen premium, kemungkinan beralih kepada EV sebagai alternatif lebih menjimatkan untuk jangka panjang.
"Kami menjangkakan kadar penembusan EV terus meningkat sepanjang 2026, disokong oleh pelancaran model baharu seperti Proton e.MAS 5 dan e.MAS 7 versi hibrid plug-in (PHEV)," katanya dalam nota.
Selain itu jelas CIMB Securities, kesinambungan insentif cukai bagi EV pemasangan tempatan (CKD), manakala pelarasan subsidi bahan api di bawah program BUDI95 dilihat tidak memberi kesan besar.
Jelasnya, pengurangan kuota subsidi RON95 kurang menjejaskan segmen kenderaan nasional, kerana kebanyakan model baharu mempunyai kapasiti enjin kecil dan penggunaan bahan api lebih rendah.
Sehubungan itu, firma tersebut meramalkan permintaan bagi jenama nasional kekal berdaya tahan walaupun berdepan ketidaktentuan global, termasuk konflik geopolitik di rantau Timur Tengah.

"Dari segi prestasi, jumlah volum industri (TIV) pada Februari 2026 susut 19% tahun ke tahun (YoY) kepada 52,414 unit, dipengaruhi isu musim perayaan dan kurang hari bekerja," kata CIMB Securities.
Ujarnya, bagi dua bulan pertama tahun ini, TIV namun masih mencatatkan pertumbuhan 1.5% kepada 116,712 unit, dan berdasarkan situasi itu, ia mengekalkan unjuran TIV 2026 pada 800,000 unit.
Anggaran ini lebih tinggi daripada jangkaan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebanyak 790,000 unit, didorong oleh permintaan kukuh bagi kenderaan nasional serta peningkatan penggunaan EV.
Dalam pasaran kata CIMB Securities, Proton muncul sebagai pemacu utama dengan lonjakan jualan 60% YoY bagi tempoh dua bulan pertama 2026, meningkatkan pegangan pasaran segmen nasional kepada 71%.
"Sebaliknya, segmen bukan nasional yang merangkumi jenama seperti BYD dan Jetour pula mencatatkan penurunan, walaupun jenama China terus mengukuhkan kehadiran dalam pasaran tempatan," katanya.
Dari sudut prospek, faktor pemangkin termasuk potensi penurunan kadar faedah dijangka menyokong permintaan tetapi risiko kekal daripada penyusutan mata wang asing dan kenaikan kadar faedah.
Langkah pengetatan pembiayaan serta tekanan margin akibat persaingan sengit, juga jelas CIMB Securities menjejaskan pembelian, dan ia mengekalkan penarafan ‘neutral’ ke atas sektor automotif.
Berdasarkan situasi semasa, firma itu memberi saranan ‘beli’ kepada MBM Resources Berhad dengan harga sasaran (TP) RM6.18) dan HI Mobility Berhad (TP RM3.10). - DagangNews.com








