KUALA LUMPUR 22 Jan — Sentimen negatif terus membayangi sektor minyak dan gas (O&G) apabila lambakan bekalan global dan harga minyak mentah yang kekal rendah mengekang prospek pendapatan.
Menurut MBSB Research, harga Brent yang menjadi penanda aras dunia terus bergerak mendatar dalam julat rendah antara AS$58.92 hingga AS$63.75 (RM237 hingga RM258) setong sepanjang bulan lalu,
Prestasi lemah itu jelasnya, mencerminkan pasaran dibanjiri stok daripada pengeluar bukan anggota Pertumbuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+), manakala permintaan menunjukkan tanda perlahan.
"Purata harga Brent bagi Disember 2025 susut 18.48% tahun ke tahun (YoY) dan 3.67% bulan ke bulan (MoM) kepada AS$61.55 (RM249) setong kerana pengeluaran kukuh negara bukan OPEC+," kata firma itu.
Langkah pelonggaran secara berperingkat pemotongan pengeluaran OPEC+ serta permintaan yang semakin rendah itu susulan kelembapan ekonomi global dan peralihan struktur ke arah tenaga lebih bersih.
Walaupun ketegangan geopolitik di rantau Timur Tengah mencetuskan lonjakan harga jangka pendek, MBSB Research berkata, kesannya sementara berikutan penawaran dan permintaan tidak seimbang.
Bagi gas asli pula, harga Henry Hub mencatat kenaikan kecil 1.46% YoY, namun merosot ketara 25.10% MoM akibat peralihan permintaan bermusim dan paras simpanan kukuh, yang mengurangkan tekanan stok.
"Dalam segmen huluan, harga Brent berada pada paras terendah beberapa tahun menyebabkan pengeluar mengamalkan disiplin perbelanjaan modal lebih ketat, yang mengehadkan kontrak baharu," jelasnya.
MBSB Research berkata, segmen hiliran pula terus berdepan tekanan akibat lebihan bekalan produk petrokimia, terutamanya daripada penambahan kapasiti besar-besaran di China, yang menekan margin.
Sebaliknya, segmen pertengahan menunjukkan prestasi yang lebih baik, dengan kadar sewaan kapal tangki bersih dan kotor dilihat sudah menentang trend kelemahan sektor O&G secara keseluruhan.
Indeks Tenaga Bursa Malaysia susut 6.76% YoY, mencerminkan kesan kumulatif harga komoditi yang lemah, serta prestasi pendapatan hambar dalam kalangan pemain huluan dan penyedia perkhidmatan.
"Pendekatan pelaburan yang lebih berhati-hati juga menjejaskan pemain industri, dan berdasarkan situasi itu, kami mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor O&G," kata MBSB Reserach.
Firma penyelidikan tersebut turut menjangkakan risiko penurunan berterusan berikutan lebihan bekalan minyak mentah yang lebih tinggi pada 2026, dan berpotensi menekan harga minyak global.
Justeru, ia mengekalkan keutamaan kepada segmen pertengahan yang menawarkan model perniagaan secara berulang, aliran tunai stabil dan kurang terdedah kepada turun naik harga komoditi.
Dialog Group Berhad jelas MBSB Research, kekal sebagai pilihan utamanya dalam sektor O&G dengan saranan 'beli' dan harga sasaran sebanyak RM2.17 sesaham. - DagangNews.com








