Harga minyak global jatuh susulan tindakan AS menggulingkan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak global jatuh susulan tindakan AS menggulingkan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro

Orang ramai menyertai demonstrasi membantah tindakan ketenteraan Amerika Syarikat di Venezuela, di luar Pusat Tahanan Metropolitan, tempat penahanan bekas Presiden Venezuela yang digulingkan, Nicolas Maduro, di Brooklyn, New York City, pada 4 Januari 2026. — Foto AFP

TOKYO 5 Jan (AFP) - Harga minyak jatuh pada Isnin susulan operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) yang menyingkirkan pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro dari tampuk kuasa negara Amerika Selatan yang memiliki rizab minyak mentah terbesar dunia.

 

Kemasukan semula jumlah minyak Venezuela yang lebih besar ke pasaran dijangka menambah kebimbangan lebihan bekalan, sekali gus memberi tekanan lanjut kepada harga minyak yang telah merosot sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

 

Dalam dagangan pagi di Asia, harga minyak mentah Brent susut 0.21 peratus kepada AS$60.62 setong, manakala West Texas Intermediate (WTI) turun 0.35 peratus kepada AS$57.12 setong, kedua-duanya pulih sedikit daripada paras terendah awal.

 

Tentera AS melancarkan serangan ke atas Caracas pada awal pagi Sabtu, mengebom beberapa sasaran ketenteraan sebelum membawa keluar Maduro dan isterinya untuk berdepan pertuduhan persekutuan berkaitan penyeludupan dadah di New York.

 

Presiden AS, Donald Trump, berkata Amerika Syarikat kini akan “mentadbir” Venezuela dan menghantar syarikat-syarikat AS bagi memulihkan infrastruktur minyak negara itu yang telah lama uzur.

 

Selepas bertahun-tahun kekurangan pelaburan dan sekatan, Venezuela kini hanya menghasilkan kira-kira satu juta tong minyak sehari, jauh merosot berbanding sekitar 3.5 juta tong sehari pada 1999.

 

Bagaimanapun penganalisis berpandangan, selain pelbagai persoalan besar mengenai masa depan Venezuela, usaha meningkatkan pengeluaran minyak secara ketara bukanlah sesuatu yang mudah atau pantas.

 

“Sebarang pemulihan pengeluaran memerlukan pelaburan besar memandangkan infrastruktur yang rosak teruk akibat salah urus dan kekurangan pelaburan selama bertahun-tahun,” kata penganalisis UBS, Giovanni Staunovo, kepada AFP.

 

Dalam masa sama, pelaburan ketika ini dilihat kurang menarik kerana harga minyak terus ditekan oleh lebihan bekalan global dan mencatat kejatuhan sepanjang 2025, meskipun berdepan faktor pertumbuhan mencabar seperti perang tarif Trump dan konflik berterusan di Ukraine.

© Agence France-Presse