KUALA LUMPUR 25 Mac — Harga minyak mentah global dijangka menyederhana kepada AS$66 setong pada suku kedua 2026 (2Q26) selepas mencatat paras lebih tinggi sekitar AS$78 setong pada suku pertama, menurut BMI, unit penyelidikan di bawah Fitch Solutions.
Firma itu bagaimanapun menjangkakan harga minyak akan pulih secara beransur-ansur menjelang hujung tahun, dengan unjuran purata tahunan minyak mentah Brent bagi 2026 kekal pada AS$70 setong.
Menurut BMI, prospek tersebut diasaskan kepada jangkaan pemulihan pasca konflik yang agak pantas, termasuk kerosakan minimum terhadap infrastruktur pengeluaran dan eksport utama serta normalisasi aliran minyak melalui Selat Hormuz dalam tempoh dua hingga empat minggu.
Namun begitu, risiko konflik berpanjangan dilihat semakin meningkat.
“Pasukan risiko negara kami menganggarkan kebarangkalian 35% bagi senario ‘extend-to-end’ yang boleh berlarutan sehingga lapan minggu, dan 25% bagi senario ‘extend-to-escalate’ yang berpotensi berlanjutan selama beberapa bulan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut BMI, sekiranya senario ‘extend-to-end’ berlaku, unjuran purata tahunan harga Brent berkemungkinan disemak naik kepada julat AS$75 hingga AS$82 setong bagi 2026.
Firma itu turut berpandangan bahawa jurang antara pasaran kertas dan fizikal tidak dapat dikekalkan dalam jangka panjang, sekali gus menjangkakan tekanan kenaikan harga yang lebih ketara di bawah senario tersebut.
Dalam pada itu, defisit pasaran minyak global dianggarkan berada dalam julat 7.5 juta hingga 15.0 juta tong sehari, mencerminkan tekanan bekalan yang masih ketara.
BMI berkata pelbagai langkah telah diambil oleh peserta pasaran dan pembuat dasar untuk mengimbangi gangguan bekalan dari rantau Teluk, termasuk pengalihan saluran paip, pelepasan rizab strategik serta pengurangan stok minyak di laut dan di darat.
Selain itu, terdapat juga kelonggaran sementara terhadap sekatan minyak ke atas Rusia dan, pada tahap lebih kecil, Iran, serta pelonggaran peraturan bahan api domestik di beberapa negara.
Bagaimanapun, firma itu memberi amaran bahawa langkah-langkah tersebut semakin berkurangan keberkesanannya.
“Penampan ini semakin menyusut dengan cepat, dan pilihan yang ada dalam tempoh empat minggu akan datang adalah jauh lebih terhad berbanding sebelum ini,” katanya.
Tambahnya, sekiranya konflik berterusan, risiko terhadap aliran minyak melalui Selat Hormuz dan Laut Merah akan terus meningkat, termasuk kemungkinan kerosakan lebih besar kepada infrastruktur kritikal, yang boleh melambatkan pemulihan pasaran minyak global. - BERNAMA








