KUALA LUMPUR 31 Mac - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan harga lantai bagi kenderaan EV pemasangan tempatan (CKD) bagi semua jenama luar negara ditetapkan pada RM100,000 dan bukannya RM200,000 seperti didakwa pelbagai pihak.
"Dakwaan ini (harga lantai bagi CKD BYD ditetapkan pada RM200,000) tidak tepat," kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanpun MITI menegaskan seperti mana pengeluar jenama kenderaan EV lain, jumlah yang dibenarkan untuk dijual di pasaran tempatan ialah 20% daripada kapasiti pengeluaran atau 10,000 unit setahun bagi BYD.
"Ini bagi memastikan syarikat pemasangan tempatan menumpukan pada segmen bernilai tinggi sambil mengekalkan ruang pasaran untuk PROTON dan PERODUA," katanya.
Sehubungan itu MITI menafikan tuduhan bahawa kementerian itu ‘menggadai masa depan’ industri automotif negara demi menjaga kepentingan pemain tempatan.
MITI menegaskan kementerian itu mengamalkan pendekatan pembangunan dan bukannya perlindungan demi kemampanan industri termasuk memelihara ekosistem automotif melebihi 700,000 pekerja, dengan sumbangan kira-kira 4% daripada KDNK Malaysia setiap tahun.
"Di bawah NAP dan NIMP 2030, Malaysia bergerak ke arah aktiviti bernilai tinggi seperti pembuatan canggih, kejuruteraan dan pemindahan teknologi.
"Pelaburan tanpa komitmen eksport atau pelan penglokalan, memberi manfaat yang terhad dan mengehadkan skala ekonomi yang diperlukan untuk penglokalan mampan," kata kementerian itu.
Kenyataan itu bagi menjawab tuduhan yang dilemparkan oleh pelbagai pihak berkaitan industri susulan keputusan pengeluar kereta dari China, BYD yang dikatakan sedang menilai semula rancangan membuka kilang pemasangan kenderaan secara CKD di Tanjong Malim.
Pihak BYD dilaporkan tidak bersetuju dengan syarat yang dikenakan oleh MITI, antaranya 80% kenderaan yang dipasang perlu dieksport serta harga jualan kenderaan BYD di Malaysia perlu berharga lebih RM200,000 sebuah.
Berikut penjelasan MITI:
BYD dikatakan mempertimbangkan semula pelaburan CKD di Tanjung Malim akibat syarat tidak menguntungkan
BYD Automotive Malaysia Sdn. Bhd. (BYD) diluluskan Lesen Pembuatan sementara pada 29 September 2025 untuk menjalankan pemasangan Kenderaan Penumpang Efisien Tenaga (EEV), termasuk Kenderaan Elektrik (EV) dan Kenderaan Hibrid Plug-In (PHEV) di Tanjung Malim, Perak.
Lesen ini diberikan berasaskan profil pengeluaran berorientasikan eksport, di mana majoriti pengeluaran ditujukan untuk pasaran antarabangsa bagi memanfaatkan FTA Malaysia dan rantaian bekalan serantau.
Syarat ini direka untuk:
(i) Menyelaraskan dengan Dasar Automotif Negara (NAP) dan Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 (NIMP 2030);
(ii) Mempromosikan aktiviti bernilai tinggi termasuk integrasi rantaian bekalan tempatan, pemindahan teknologi dan pengeluaran berorientasikan eksport; dan
(iii) Mencegah gangguan pasaran dan memastikan pembangunan industri yang mampan.
MITI menjelaskan syarat ini tidak unik kepada BYD tetapi konsisten untuk semua pelaburan automotif baharu di Malaysia sejak September 2025 (kecuali menggunakan fasiliti pemasangan tempatan sedia ada).
Selain itu, MITI telah menetapkan syarat tambahan untuk Lesen Pembuatan BYD:
(i) Jualan domestik dihadkan kepada 10,000 unit setahun (20% daripada kapasiti pengeluaran BYD), dengan keutamaan integrasi eksport.
MITI menjelaskan ini bukan sekatan tetapi kerangka pengeluaran yang dipersetujui bersama;
(ii) Aktiviti pemasangan mesti merangkumi operasi body shop, cat dan trim di negara ini untuk layak sebagai aktiviti bernilai tinggi. PBS lengkap tidak diiktiraf untuk penilaian nilai tambah tempatan tetapi BYD bebas mendapatkan komponen dari global;
(iii) Harga minimum On the Road (OTR) ditetapkan RM100,000.
"Syarat ini tidak diskriminatif dan terpakai sama rata untuk semua projek pemasangan automotif berskala besar, tanpa mengira jenama atau negara asal," kata MITI.
Ia bertujuan memastikan kapasiti pemasangan tempatan bergerak ke segmen bernilai tinggi secara mampan dan mengelakkan gangguan kepada ekosistem pembekal sedia ada.
"BYD tidak dipilih secara khas; syarat sama dikenakan kepada mana-mana CKD baharu," tegas MITI lagi.
MITI didakwa mewajibkan 80% pengeluaran BYD dieksport
Syarat kelulusan menetapkan jualan domestik terhad kepada 10,000 unit setahun, bersamaan 20% daripada kapasiti pengeluaran BYD.
MITI menjelaskan ini merupakan syarat berorientasikan eksport untuk menyokong imbangan perdagangan Malaysia dan integrasi rantaian bekalan global, bukannya sekatan terhadap jumlah pengeluaran.
Hanya 20% pengeluaran BYD boleh dijual di pasaran tempatan, harga melebihi RM200,000
MITI menjelaskan dakwaan ini tidak tepat. Syarat yang dikenakan ialah harga minimum OTR RM100,000 bagi kenderaan CKD BYD di pasaran tempatan.
Ini bagi memastikan pemasangan tempatan menumpukan pada segmen bernilai tinggi sambil mengekalkan ruang pasaran untuk PROTON dan PERODUA.
Import CBU EV mesti dijual melebihi RM250,000, menjejaskan akses EV
MITI menjelaskan di bawah polisi AP Franchise, harga minimum atas jalan OTR bagi semua kenderaan penumpang CBU ialah RM250,000.
Kerajaan telah melaksanakan pengecualian sementara dari 2022 hingga 31 Disember 2025 untuk EV CBU, mengurangkan harga minimum OTR kepada RM100,000 untuk merangsang permintaan awal EV dan memberi ruang kepada Proton, Perodua dan ekosistem automotif nasional membangunkan kapasiti EV mereka.
"Strategi jangka panjang adalah pemasangan dan pengeluaran tempatan, bukannya import CBU berterusan. MITI kini menyemak polisi “floor price” bagi mengukuhkan aktiviti pemasangan tempatan," katanya.
Dakwaan MITI mengharamkan import model/jenama pickup baharu
MITI menegaskan tiada larangan import model pickup baharu (contohnya BYD Shark atau GWM Cannon).
Kenderaan komersial termasuk pickup tertakluk kepada syarat penglokalan CKD. Import CBU dibenarkan dengan kuota terhad di bawah Market Research Pre-Assembly (MRA) Approved Permit.
Keterbukaan Malaysia
Seterusnya MITI menegaskan keterbukaan Malaysia kepada pelaburan automotif dari China.
Sehingga Disember 2025, daripada 34 jenama automotif asing di pasaran, 14 adalah jenama China termasuk BYD, Chery, Jaecoo, Jetour, Haval, Wey, MG dan Volvo.
BYD diluluskan Lesen Pembuatan sementara pada 29 September 2025, manakala Chery juga mendapat kelulusan pada 26 Jun 2025.
"Kelulusan ini menunjukkan kerangka dasar Malaysia bukan penghalang tetapi memastikan penyertaan bernilai tinggi dari pelabur asing. Dasar ini bersifat pembangunan, mengarah Malaysia ke arah pembuatan canggih," katanya.
Di bawah NAP 2020 dan NIMP 2030, matlamat Malaysia adalah menjadi hab pengeluaran dan eksport serantau bagi Kenderaan Generasi Seterusnya.
Terdapat lebih 592 pembekal automotif khusus dan tenaga kerja teknikal mahir untuk menyokong pengeluaran EV bertaraf dunia. Malaysia bersedia bekerjasama dengan pengeluar yang membina untuk pasaran tempatan dan global.
Malaysia mempunyai rekod panjang sebagai destinasi pelaburan automotif asing berkualiti tinggi.
TechPark dan Lembah Automotif High-Tech sekitarnya membentuk koridor industri dengan rangkaian pembekal, bakat kejuruteraan dan infrastruktur khusus untuk pengeluaran Kenderaan Generasi Seterusnya.
Nama global termasuk Mercedes-Benz, Volvo dan Stellantis (Peugeot) memilih Malaysia sebagai pangkalan pemasangan serantau, dan Chery kini membina kilang di Beringin High-Tech Automotive Valley, menegaskan keyakinan antarabangsa terhadap Malaysia sebagai destinasi pengeluaran EV.
Lokasi Malaysia di tengah ASEAN menyediakan akses ke pasaran serantau lebih 600 juta pengguna, disokong 17 perjanjian perdagangan bebas yang membuka pasaran global untuk kenderaan yang dipasang di sini.
Tenaga kerja Malaysia berkemahiran, fasih bahasa Inggeris dan berpengalaman dalam pembuatan tepat.
Persekitaran regulatori stabil, telus dan konsisten. Malaysia kekal sebagai destinasi menarik bagi pengeluar serius dengan pelaburan jangka panjang berorientasikan eksport di Asia Tenggara.
Malaysia terus terbuka kepada pelabur dan perniagaan global, termasuk jenama China, untuk berkembang di sini bukan sahaja sebagai pasaran tetapi sebagai pangkalan pengeluaran dan eksport.
Dasar ini memastikan setiap pelaburan mewujudkan nilai tempatan, pemindahan teknologi dan pekerjaan mampan. Malaysia menantikan kerjasama dengan rakan kongsi yang berkongsi visi ini. - DagangNews.com








