KUALA LUMPUR 29 Jan - CAB Cakaran Corporation Berhad berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM108.17 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025, bertambah 16.08% berbanding FY24.
Peningkatan ini didorong terutamanya oleh penurunan kos makanan dedak ternakan sebanyak 11% dan kenaikan 1.5% dalam harga jualan purata ayam pedaging yang melonjakkan keuntungan kasar kumpulan.
Dari segi prestasi hasil bagi FY25, kumpulan berkenaan merekodkan perolehan yang stabil sebanyak RM2.31 bilion, menunjukkan sedikit peningkatan berbanding RM2.30 bilion pada tahun sebelumnya.
"Bahagian integrasi ternakan ayam menjadi penyumbang teras, dengan hasil RM2.18 billion, walaupun tiada lagi subsidi kerajaan yang berjumlah RM39.8 juta," maklum CAB Cakaran kepada Bursa Malaysia.
Keuntungan operasi daripada segmen ini jelas kumpulan berkenaan, turut melonjak kira-kira 14% kepada sebanyak RM199.31 juta berikutan kecekapan kos makanan ternakan sepanjang tahun tersebut.
Bagaimanapun katanya, bahagian peruncitan mencatatkan penurunan hasil kira-kira 1.03% kepada sebanyak RM147.02 juta akibat persaingan sengit daripada peruncit ternakan yang berskala kecil.
Kerugian operasi bahagian ini tambah CAB Cakaran, namun dapat dikecilkan kepada RM0.41 juta susulan tuntutan insurans dan keuntungan pelupusan hartanah pelaburan tertentu yang berjaya dilaksanakan .
"Kumpulan ini sudah melengkapkan pengambilalihan CAB Feed Sdn Bhd (dahulunya Cargill Feed Sdn Bhd) pada 28 November 2025 untuk memperkukuh bekalan dedak dalaman yang lebih kos efektif," jelasnya.
Sementara itu katanya, projek usaha sama (JV) dengan Salim Group di Indonesia melibatkan pelaburan AS$10 juta (RM39 juta) bagi pembinaan loji pemprosesan, dijangka bermula pada suku kedua 2026.
Lembaga Pengarah CAB Cakaran sudah mencadangkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 1.0 sen sesaham bagi FY25 untuk kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) akan datang.
Kumpulan tersebut masih lagi kekal optimis terhadap prospek masa hadapan memandangkan pasaran ayam di Malaysia dijangka terus berdaya tahan sebagai sumber makanan protein utama yang mampu milik
"Di samping itu, tumpuan syarikat konsisten terhadap penggunaan teknologi automasi dalam usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja yang ramai," katanya. - DagangNews.com








