KUALA LUMPUR 7 Mac - Keputusan mengejut AirAsia keluar daripada Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah hanya dalam tujuh bulan beroperasi di Subang dan kembali sepenuhnya di KLIA2, mencetuskan tanda tanya mengenai pelan pembesaran lapangan terbang itu.
Pada Khamis, AirAsia mengumumkan pemindahan balik perkhidmatan domestiknya dari lapangan terbang Subang ke Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2), berkuat kuasa 7 April 2025. AirAsia beroperasi kembali di Subang pada Ogos 2024.
Keputusan tersebut bukan sahaja mengejutkan tetapi amat menghairankan kerana AirAsia sendiri yang paling lantang mahu beroperasi di Subang dengan alasan memenuhi permintaan penumpang sebagai lapangan terbang paling dekat dengan pusat ibu kota.
Malah, AirAsia menyatakan merancang menjadikan Subang sebagai hab keenam AirAsia di Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN: AirAsia lancarkan penerbangan pertama ke Sabah dan Sarawak dari Subang selepas 24 tahun

Dalam kenyataan media itu AirAsia berkata, syarikat itu "memutuskan untuk berpindah ke klia2 untuk mengoptimumkan operasi dan menambah baik pengalaman tetamu di tengah-tengah permintaan yang semakin meningkat".
"Kumpulan itu menilai dengan teliti trend penumpang dan keperluan operasi, dan membuat kesimpulan bahawa KLIA2 menawarkan platform terbaik untuk meningkatkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan.
"Walaupun Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah adalah mudah, terutamanya untuk pengembara ke bandar, pembangunan semulanya untuk menyokong pertumbuhan masa depan akan mengambil masa," katanya lagi.
Pelan pembesaran LTSAAS
Sebagai syarikat penerbangan yang dianggap milik kedua Malaysia, sebarang keputusan AirAsia dianggap penting terutama dalam meluluskan Subang kembali disemarakkan. Dan ini mendorong kerajaan turut menggerakkan pelan pembesaran LTSAAS.
Benar, pelan itu boleh diteruskan kerana tanpa AirAsia pun, ada empat lagi syarikat penerbangan beroperasi di situ yang akan mendapat manfaat dengan pembesaran lapangan terbang iaitu FireFly, Batik Air Malaysia, Transnusa, dan Scoot Pte Ltd dari Singapura.
Malah, akan ada peluang menambah lagi beberapa syarikat di masa hadapan, khususnya AirBorneo milik kerajaan Sarawak.
Pelan pembesaran lapangan terbang Subang menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti kepada lima juta penumpang setiap tahun dalam tempoh tiga hingga empat tahun, dan sehingga lapan juta menjelang 2030.

Penganalisis dan perunding bebas Sobie Aviation yang berpangkalan di Singapura, Brendan Sobie turut mempersoalkan daya maju rancangan pembesaran LTSAAS
"Keputusan AirAsia menonjolkan cabaran pasaran domestik Malaysia, yang boleh menjadi sangat kompetitif dan sensitif harga.
"Ia juga menyerlahkan kelemahan dalam dasar di sebalik pembukaan semula jet SZB (nama kod LTSAAS). Ia adalah pil pahit untuk ditelan oleh AirAsia dan kerajaan, tetapi wajar kerana operasi jet domestik SZB setakat ini sangat tidak menguntungkan,” kata Sobie dalam catatan di Linkedin.
Sobie telah lama mempersoalkan strategi penerbangan untuk lapangan terbang Subang dengan menyatakan bahawa hasilnya setakat ini adalah jauh di bawah purata hasil di laluan yang sama dari KLIA.
Beliau menyarankan supaya dibatalkan pelan pengembangan yang dirancang di lapangan terbang Subang dan fasa pertama operasi jet peribadi dibuka semula, dengan tujuan untuk menambah baik pasaran keseluruhan.

“Sebelum Covid, pasaran domestik Malaysia mengalami lebihan kapasiti dan persaingan tidak rasional. Ini sekali lagi menjadi masalah dengan hasil kini turun dengan ketara tahun ke tahun. Hasil pada beberapa laluan adalah di bawah paras 2019 walaupun kos yang jauh lebih tinggi,” kata Sobie dalam catatannya.
Beliau mengakui tidak mungkin Subang akan kembali jadi operasi jet peribadi, dengan Batik Air Malaysia dan Firefly berkemungkinan memohon untuk mengambil empat pasang slot AirAsia atas sebab strategik. - DagangNews.com








