KUALA LUMPUR 14 Mei – Kadar penggunaan fasiliti bilik bedah milik Optimax Holdings Berhad yang masih rendah diisi hanya sekitar 40% kini dilihat sebagai peluang besar untuk syarikat meningkatkan lagi hasil.
Menurut RHB Research, baki selebihnya jika dimanfaatkan dijangka dapat menjana keuntungan besar kepada kumpulan tersebut pada FY26, dan situasi itu dilihat bukannya bersifat kelemahan operasi.
Penggunaan aset belum dimaksimumkan itu membuka ruang kepada syarikat memacu pertumbuhan melalui usaha pengembangan perkhidmatan baharu termasuk rawatan telinga, hidung dan tekak (ENT).
"Kami menjangkakan strategi tersebut akan dapat membantu Optimax untuk meningkatkan lagi kadar penggunaan fasiliti yang sedia ada tanpa memerlukan pun pelaburan modal besar tambahan," katanya.
Empat bilik bedah di pusatnya jelas RHB Research, pada ketika ini tidak digunakan kira-kira 60%, dan pengenalan perkhidmatan ENT dijangka berupaya meningkatkan operasi serta hasil kumpulan itu.
Fasiliti sedia ada juga bersifat fleksibel dan boleh merentasi pelbagai disiplin perubatan, sekali gus memudahkan syarikat itu untuk meningkatkan pendapatan tanpa pertambahan ketara kos tetap.
Pada masa sama, firma penyelidikan itu turut melihat kerjasama antara Optimax dengan MyAngkasa yang memiliki lebih tujuh juta ahli sebagai pemangkin penting kepada pertumbuhan volum pesakit.

"Ini memberi akses kepada bakal pelanggan melalui sistem potongan gaji ANGKASA, dan mengurangkan isu kemampuan kewangan bagi rawatan elektif mahal seperti pembedahan laser," kata RHB Research.
Ia percaya langkah baharu susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) pada 10 Mac 2026 itu mampu mewujudkan pemerolehan pesakit yang lebih stabil selain menurunkan kos pemasaran syarikat.
Selain dapat mengoptimumkan aset sedia ada, Optimax bergerak ke arah model pengembangan ‘aset ringan’ melalui pembukaan fasiliti terkini di Kempas, Johor; Setia Alam, Selangor dan Jakarta, Indonesia.
Pendekatan itu ujar RHB Research, menggunakan konsep sewaan dan bayaran penggunaan bilik bedah di bawah swasta syarikat, dan mengurangkan komitmen modal awal serta risiko kerugian sebelum operasi.
"Bagi FY25, kumpulan ini merekodkan keuntungan bersih teras sebanyak RM14.7 juta dipacu sumbangan lebih tinggi oleh klinik-klinik satelit serta pusat rawatan di seluruh Malaysia, dan Kemboja," katanya.
Margin bersih Optimax jelas firma penyelidikan tersebut, turut meningkat kira-kira 0.6 mata peratusan disokong kecekapan operasi dan prestasi klinik baharu yang mula mencapai tahap pulang modal.
RHB Research berpandangan syarikat ini dapat memanfaatkan pertumbuhan permintaan penjagaan mata yang didorong peningkatan populasi berusia dan kesedaran rawatan penglihatan. - DagangNews.com








