KUALA LUMPUR 6 Feb – Handal Energy Berhad mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di Hotel Teedo, Kuala Lumpur pada 4 Mac 2026 bagi pemegang sahamnya mengundi ke atas sejumlah 11 resolusi.
Antaranya termasuk pemberian skim pilihan saham pekerja (ESOS) kepada ADUN PKR Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad, yang juga memegang jawatan Pengerusi Bukan Eksekutif di syarikat tersebut.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, EGM ini dijangka menjadi tumpuan pelabur kerana ia turut melibatkan insentif ekuiti untuk wakil rakyat berkenaan dan pengurusan kanan kumpulan.
"Langkah pemberian ESOS ini adalah selari dengan strategi syarikat dalam usaha meningkatkan lagi motivasi dan penyertaan aktif pihak pengurusan terhadap prestasi korporat," kata Handal Energy.
Muhamad Arafat, 41, yang juga Naib Pengerusi PKR Perak, dilantik sebagai Pengerusi syarikat itu pada 28 Ogos 2023, menggantikan Tengku Baderul Zaman Sultan Mahmud susulan melepaskan jawatan.
Penyandang sebelum ini merupakan adinda bekas Yang di-Pertuan Agong dan juga Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Muhamad Arafat memegang Ijazah Sarjana Pengurusan Asia e University.
Beliau pernah menyandang Ketua Penerangan PKR Perak dan Ketua Cabang PKR Tambun, manakala dalam Handal Energy pula, pernah dilantik menjadi anggota bebas jawatankuasa penamaan dan imbuhan.
Kumpulan penyedia rumusan perkhidmatan tenaga, operasi kren serta penyelenggaraan berkaitan industri minyak dan gas (O&G) itu menambah, EGM pada kali ini turut akan memutuskan beberapa lagi resolusi.
"Ini termasuk cadangan penempatan persendirian sehingga 196.95 juta saham biasa bersamaan 30% daripada jumlah saham sedia ada tidak termasuk saham perbendaharaan," jelas syarikat berkenaan.
Selain itu, pemegang saham Handal Energy akan mengundi resolusi khas mengenai cadangan pengurangan modal saham syarikat selaras dengan Seksyen 117 Akta Syarikat 2016. - DagangNews.com








