Hampir 80% unit kediaman UDA Heights di Johor habis dijual | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hampir 80% unit kediaman UDA Heights di Johor habis dijual

UDA Heights menawarkan dua jenis kediaman iaitu banglo dan rumah berkembar dua tingkat yang dibangunkan di Bandar UDA Utama, Johor Bahru.
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Feb – UDA Holdings Berhad menerima sambutan memberangsangkan melalui projek kediaman premium, UDA Heights di Johor Bahru apabila hampir 80 peratus unit banglo dan rumah berkembar dua tingkat habis dijual.

 

UDA Holdings adalah peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

 

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Azrudyn Rashid berkata projek itu siap dua bulan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan, menunjukkan komitmen UDA dalam memastikan pelaksanaan projek yang cekap dan berkualiti.

 

UDA Heights terletak di Bandar UDA Utama dan menawarkan banglo enam bilik tidur dan enam bilik air pada harga bermula RM2.2 juta, manakala rumah berkembar lima bilik tidur dan enam bilik air bermula RM1.7 juta. 

 

t
Sebahagian daripada 70 pembeli yang menerima kunci kediaman mereka baru-baru ini

 

Beliau berkata projek ini direka untuk memenuhi keperluan kediaman tiga generasi dan dilengkapi bilik pejabat, dapur kering dan basah serta tandas mesra OKU.

 

“Inisiatif penuaian air juga diterapkan sebagai sebahagian daripada pembangunan lestari.

 

“Sehingga kini, UDA melalui UDA Land (South) Sdn Bhd telah membangunkan hampir 9,000 unit kediaman dan komersial di Johor, dengan lebih 70 peratus pembeli adalah Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Tahun ini, UDA merancang melancarkan tiga projek baharu termasuk Residensi Monstera, UDA Amarylis Plot 1 dan Plot 2, serta Sedili Residensi di Kota Tinggi, menawarkan rumah mampu milik dan rumah bandar dua dan tiga tingkat.

 

Tambahnya, setiap pembangunan syarikat dipacu oleh tanggungjawab, kelestarian dan tadbir urus baik, selaras dengan aspirasi ‘Memenuhi Impian’ untuk membangunkan bandar, memperkasa usahawan dan membina komuniti mampan.- DagangNews.com