Had kuota kelayakan subsidi petrol dinaikkan kepada 800 liter sebulan untuk pemandu e-hailing aktif - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Had kuota kelayakan subsidi petrol dinaikkan kepada 800 liter sebulan untuk pemandu e-hailing aktif - PM Anwar

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Nov – Kerajaan bersetuju menaikkan kuota had kelayakan subsidi petrol RON95 untuk pemandu e-hailing aktif kepada 800 liter sebulan berbanding 600 liter sebelum ini, tertakluk kepada syarat perjalanan ditetapkan.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan menilai keperluan sebenar dan rayuan daripada pemandu e-hailing berhubung penggunaan petrol mereka.

 

“Setakat ini, seramai 58,000 pemandu e-hailing layak menerima peningkatan kuota subsidi. 

 

“Selepas penilaian lanjut, kerajaan bersetuju meningkatkan had kelayakan kepada sehingga 800 liter sebulan,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) yang ingin tahu langkah kerajaan dalam menangani rungutan dibangkitkan pemandu e-hailing sebelum ini.

 

Tambah Anwar, kerajaan juga bersetuju untuk menyenaraikan teksi lapangan terbang sebagai kenderaan yang layak menerima petrol RON95 bersubsidi di bawah Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).

 

Langkah itu dijangka dapat membantu golongan pemandu yang banyak bergantung kepada penggunaan petrol harian dalam menjalankan operasi mereka.

 

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 pada bulan pertama menunjukkan perkembangan positif dan berjalan lancar di stesen minyak tanpa gangguan sistem atau capaian internet.

 

“Seramai 13.1 juta rakyat telah melakukan transaksi menggunakan BUDI95 bernilai RM2.6 bilion petrol dan kerajaan menanggung kira-kira RM800 juta subsidi sepanjang tempoh tersebut

 

“Purata penggunaan rakyat di bawah BUDI95 bagi Oktober adalah 98 liter sebulan iaitu hanya 33% daripada had 300 liter yang ditetapkan, menunjukkan kuota semasa mencukupi.

 

“Kerajaan turut memperluas kelayakan kepada pengguna bot dan nelayan tanpa lesen memandu berdaftar dengan agensi berkaitan.

 

“Setakat 31 Oktober, hampir 24,000 pengguna bot  telah diluluskan untuk menerima BUDI95,” katanya.

 

Program BUDI95 mengekalkan harga RON95 kepada rakyat pada RM1.99 seliter, lebih rendah berbanding RM2.05 sebelum ini.

 

Sebaliknya, bukan warganegara dan penggunaan syarikat dikenakan harga tanpa subsidi iaitu RM2.60 seliter.

 

Perdana Menteri menegaskan kerajaan memilih pendekatan penyasaran bagi memastikan golongan layak dibantu sambil membanteras ketirisan dan memastikan disiplin fiskal.

 

“Kerajaan akan terus memantau corak penggunaan serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyalahgunakan subsidi RON95,” katanya. - DagangNews.com