KUALA LUMPUR 26 Jan – GWM Malaysia mencatat pencapaian strategik apabila melaksanakan penghantaran pertama pemasangan secara lengkap (CKD) GWM WEY G9 ke Thailand, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pemasangan serantau bagi kenderaan tenaga baharu (NEV) dalam ekosistem ASEAN.
Penghantaran berkenaan susulan pelancaran GWM WEY G9 pemasangan tempatan pertama di Malaysia, menandakan fasa seterusnya dalam strategi GWM untuk mengembangkan pasaran serantau.
GWM Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata, pelaksanaan eksport CKD ke Thailand mencerminkan keyakinan tinggi terhadap keupayaan industri automotif tempatan dalam menghasilkan pemasangan berkualiti tinggi, selain membuka laluan kepada skala eksport yang lebih besar pada masa hadapan.
Menurut syarikat itu, inisiatif ini dijangka merangsang pembangunan vendor tempatan, meningkatkan daya saing industri pemasangan serta memperkukuh peranan Malaysia dalam pelan serantau GWM yang lebih luas.
Penghantaran tersebut disaksikan oleh Pengarah Urusan GWM Malaysia, Cui Anqi dan Ketua Pegawai Operasi, Roslan Abdullah.
Roslan berkata, penghantaran CKD GWM WEY G9 ke Thailand membuktikan asas pasaran serantau yang kukuh sedang dibina oleh GWM di ASEAN.
“Peranan Malaysia sebagai hab pemasangan strategik membolehkan kami menyokong pasaran negara jiran dengan produk kenderaan tenaga baharu yang canggih, di samping memperdalam integrasi rantaian bekalan serantau,” katanya.
Beliau menambah, langkah itu juga mencerminkan komitmen GWM untuk terus mara dan memperkukuh kehadirannya di rantau ini.
Sementara itu, Cui berkata, GWM WEY G9 merupakan gabungan kejuruteraan bertaraf dunia dan kepakaran pemasangan tempatan yang mantap.
“Penghantaran ke Thailand ini menunjukkan daya saing GWM Malaysia dalam menyokong pertumbuhan serantau. Ia bukan sekadar pencapaian logistik, tetapi permulaan kepada matlamat jangka panjang yang memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemain penting dalam masa depan kenderaan tenaga baharu GWM,” katanya.
Menurut GWM Malaysia, unit WEY G9 yang dieksport ke Thailand dibina berasaskan platform kecanggihan kenderaan tenaga baharu GWM, disokong oleh penyelidikan global dan pembangunan rangkaian jenama itu, selain jaminan kualiti pemasangan tempatan.
Model tersebut akan memperkenalkan teknologi dipertingkatkan kepada pasaran Thailand, termasuk Sistem Pintar Hibrid 4WD (Hi4), teknologi keselamatan pintar serta pengalaman kabin premium yang menyasarkan pengguna keluarga dan perniagaan.
Program CKD GWM di Malaysia terus berkembang dengan sokongan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi dan pembangunan kepakaran teknikal berterusan.
Menurut syarikat itu, usaha berkenaan bukan sahaja membuktikan keupayaan NEV Malaysia, malah menggariskan komitmen GWM terhadap pertumbuhan serantau yang mampan.
Seiring kejayaan eksport CKD ini, GWM Malaysia kini membuat persiapan untuk pelancaran rasmi GWM WEY G9 pada awal 2026, dengan butiran lanjut dijangka diumumkan dalam beberapa minggu akan datang selari dengan kemajuan pelan hala tuju NEV GWM di Malaysia dan ASEAN. - DagangNews.com








