KUALA LUMPUR 4 Julai - Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) anak syarikat kepada Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC Berhad) terus memperkukuhkan perkhidmatan logistik untuk operasi huluannya dengan pembukaan gudang berpusat baharu yang dijangka mula beroperasi di Kemaman, Terengganu pada 2026.
Projek itu adalah hasil kerjasama antara Petronas melalui pengawal selia huluannya, Malaysia Petroleum Management (MPM) dengan EPIC.
Perjanjian itu dimeterai melalui satu memorandum persefahaman (MoU) sempena sidang kemuncak peralihan tenaga bagi Wilayah Timur Malaysia 'East Coast Energy (ECE) 2025' yang berlangsung di Terengganu, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Muhtar Suhaili berkata, gudang itu akan menggunakan alat digital, aliran kerja yang diseragamkan dan infrastruktur bersepadu bagi meningkatkan kecekapan rantaian bekalan.
"Inisiatif itu akan meningkatkan keupayaan rantaian bekalan, mengurangkan kos inventori dan meminimumkan lebihan bahan.
"Kesemua itu penting untuk meningkatkan ketangkasan dan daya tahan operasi KSB dalam sektor huluan Malaysia," katanya.

Sejak beroperasi pada tahun 1982, KSB telah dibangunkan menjadi pangkalan bekalan petroleum terbesar di Semenanjung Malaysia, meliputi 200 hektar secara keseluruhan dan tambahan 60 hektar tanah yang dikhaskan untuk pembesaran masa hadapan.
Sehingga kini, lebih 200 syarikat perkapalan terutama dalam industri minyak dan gas serta pengangkutan marin mendapatkan khidmat kepakaran dan kemudahan yang terdapat di KSB.
Sementara itu, Naib Presiden Kanan Petronas MPM, Datuk Ir. Bacho Pilong berkata, MoU tersebut mencerminkan komitmen Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan dalam sektor penerokaan dan pengeluaran (E&P).
"Rantaian bekalan kami yang bersepadu dan mudah diakses menyokong aktiviti E&P di seluruh negara.
"MoU ini menggariskan matlamat kami untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi pertumbuhan, penyeragaman operasi dan penyelesaian berasaskan teknologi dalam rantaian nilai minyak dan gas," katanya. - DagangNews.com








