Greenyield lantik Lalith Shamshir sebagai pemangku CEO Kumpulan susulan peletakan jawatan Tham Kin-On | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Greenyield lantik Lalith Shamshir sebagai pemangku CEO Kumpulan susulan peletakan jawatan Tham Kin-On

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 23 Sept - Greenyield Bhd mengumumkan pelantikan Lalith Shamshir Shamsul sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) berkuat kuasa serta-merta, berikutan peletakan jawatan CEO, Tham Kin-On pada 19 September lalu.

 

Lalith melaksanakan peranan dan tanggungjawab sebagai CEO Kumpulan sehingga pengumuman lanjut dibuat, kata syarikat itu dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Beliau mempunyai pengalaman lebih dua dekad dalam bidang kewangan, perundingan dan kepimpinan korporat.

 

Sebelum ini, Lalith berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan di Proeight Sdn. Bhd. dari Oktober 2021 hingga Mei 2025, selepas menjawat jawatan Pengurus Kanan Kewangan di syarikat sama antara 2018 hingga 2021.

 

Kerjayanya turut merangkumi peranan kanan di SB Associates, Target Energy Co Sdn. Bhd. Group serta Pantai Tax Specialist Sdn. Bhd., di mana beliau pernah memegang jawatan Pengarah Eksekutif selepas meniti tangga kerjaya sebagai Pengarah Bersekutu dan Perunding Kanan.


 

Lalith Shamshir Shamsul
  Lalith Shamshir Shamsul

 


Tuntutan adakan EGM

Pertukaran kepimpinan ini berlaku ketika Greenyield berdepan tekanan daripada sekumpulan pemegang saham yang pada 8 September lalu mengemukakan permintaan untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi menyingkirkan Tham serta melantik tiga pengarah baharu.

 

Namun, Greenyield dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin menegaskan ia tidak akan bertindak ke atas permintaan tersebut, selaras dengan kewajipan statutori lembaga pengarah di bawah Seksyen 213 Akta Syarikat 2016.

 

Lembaga pengarah berkata resolusi yang dicadangkan adalah “tidak jelas dari segi tujuannya” dan tidak selaras dengan kepentingan syarikat.

 

“Memandangkan peletakan jawatan Tham telah diumumkan pada 19 September, resolusi untuk menyingkirkan beliau tidak lagi berbangkit,” tambah kenyataan itu.

 

Setakat ini, syarikat belum menetapkan bila CEO tetap akan dilantik.

 

Greenyield, yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia sejak 2004, merupakan syarikat berasaskan teknologi pertanian (agro-teknologi) yang membekalkan produk seperti cawan getah, baja pelepasan terkawal, bahan pertanian dan aksesori penanaman.

 

Produk syarikat digunakan secara meluas dalam sektor perladangan getah, kelapa sawit dan pertanian hortikultur di pasaran tempatan dan luar negara termasuk Asia, Eropah dan Amerika. - DagangNews.com