KUALA LUMPUR 27 Jan – Greentronics Technology Berhad melalui anak syarikat pengurusan armadanya, Mpire Mobility Sdn Bhd, memeterai perjanjian perkongsian strategik dengan syarikat insurans am terkemuka Thailand, Thai Paiboon Insurance Public Company Limited (TPB), bagi memanfaatkan peningkatan perjalanan rentas sempadan antara Malaysia dan Thailand.
Greentronics berkata, kerjasama itu bertujuan menyediakan rangkaian perkhidmatan insurans digital inovatif kepada pemandu Malaysia yang memasuki Thailand, dengan TPB kini memiliki portfolio insurans am terbesar bagi kenderaan Malaysia yang memasuki wilayah selatan Thailand.
Menurut kenyataan itu, pelanggan Malaysia TPB akan mendapat akses kepada platform perkhidmatan automotif sehenti Mpire Mobility yang menghubungkan pemilik kenderaan terus kepada bengkel sah bagi keperluan servis dan penyelenggaraan.
“Melalui aplikasi mudah alih Jom MyServis, pengguna boleh memohon bantuan tepi jalan serta sokongan logistik, termasuk pengurusan penghantaran semula kenderaan ke Malaysia bagi tujuan pembaikan dan tuntutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Greentronics, TPB pula akan menyediakan perkhidmatan berkaitan insurans menerusi platform digital Mpire Mobility, sekali gus membantu mengurangkan kebimbangan berkaitan halangan bahasa, isu komunikasi dan kerumitan proses tuntutan.
Peningkatan hubungan ekonomi dua hala serta kedudukan Thailand yang semakin menonjol sebagai destinasi pelancongan telah menyumbang kepada lonjakan perjalanan rentas sempadan Malaysia-Thailand, dengan penambahbaikan infrastruktur yang dirancang dijangka terus merancakkan aliran ini.
Pada 2025, rakyat Malaysia dilaporkan mendahului senarai ketibaan pelawat asing ke Thailand dengan lebih 4.5 juta pelawat, manakala pada musim puncak, lebih 10,000 orang menyeberang masuk ke Thailand setiap hari melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Bukit Kayu Hitam di Kedah.
Pengerusi Eksekutif Greentronics, Datuk Billy Goh Soo Wee berkata, sejak penubuhan Mpire Mobility pada 2024, syarikat itu telah mencapai beberapa pencapaian penting, termasuk 1,000 kenderaan dilengkapi telematik serta lebih 10,000 pengguna akhir dalam ekosistem Jom MyServis.
“Perkongsian baharu kami dengan Thai Paiboon Insurance, antara syarikat insurans am terbesar di Thailand, merupakan satu lagi pencapaian penting buat Mpire Mobility dan Greentronics. Melalui kemasukan kami ke industri insurans digital Thailand, kami akan terus mengembangkan perniagaan Mpire Mobility sambil memanfaatkan peningkatan perjalanan rentas sempadan Malaysia-Thailand,” katanya.
Beliau menambah, pihaknya optimis kerjasama itu akan berkembang secara mampan dan memberi manfaat jangka panjang kepada kedua-dua pihak.
Sementara itu, Pengarah Urusan Thai Paiboon Insurance Public Company Limited, Eugene Foong berkata, kerjasama tersebut mencerminkan komitmen berterusan TPB untuk meningkatkan perlindungan pelanggan melalui inovasi digital dan penyelesaian praktikal rentas sempadan.
“Dengan bekerjasama bersama Mpire Mobility, kami dapat meluaskan perkhidmatan insurans merentasi sempadan negara, sekali gus memberikan pemandu Malaysia yang melancong di Thailand kejelasan, keyakinan dan sokongan yang lebih baik sekiranya berlaku kemalangan,” katanya.
Beliau berkata, integrasi platform digital serta penyelarasan proses selepas jualan akan memperbaiki komunikasi, mempercepatkan pengendalian tuntutan dan memastikan pengalaman pelanggan yang lebih lancar apabila ia paling diperlukan. - DagangNews.com








