KUALA LUMPUR 14 Okt - Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan mahkamah yang lebih rendah, sekali gus menggugurkan denda RM86.77 juta yang dikenakan terhadap Grab Holdings Inc pada tahun 2019.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Abu Bakar Jais menolak permohonan MyCC untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.
Abu Bakar menjelaskan, MyCC gagal memenuhi syarat bagi kebenaran rayuan di mahkamah tertinggi negara seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 96 Akta Kehakiman Mahkamah 1964.
Turut bersetuju secara sebulat suara dalam panel tersebut ialah Datuk Lee Swee Seng dan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
Dalam pembacaan penghakiman, Abu Bakar menegaskan, keputusan di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan bersifat substantif serta tertakluk kepada semakan kehakiman.
“Walaupun ia boleh dilabel sebagai keputusan yang dicadangkan, berdasarkan fakta kami memahami ia sebagai keputusan substantif yang mesti dipatuhi, dan oleh itu ia tertakluk kepada kuasa kehakiman.
“Saya berpandangan pihak pemohon tidak memenuhi kehendak Seksyen 96, maka permohonan ini ditolak dengan kos sebanyak RM50,000 kepada pihak responden," katanya seperti dilaporkan The Edge, hari ini.
MyCC mengemukakan notis rayuan pada 17 April 2025 bagi mendapatkan kebenaran merayu terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Rayuan pada Mac lalu, yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung denda tersebut.
Suruhanjaya itu mengemukakan lapan persoalan undang-undang untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.
Dalam kes sivil di mahkamah tertinggi, pihak perayu perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran sebelum merit rayuan didengar.
Pada tahun 2023, Ketua Hakim Negara kini, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, ketika itu Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, memihak kepada Grab dan dua anak syarikatnya dalam semakan kehakiman terhadap cadangan denda oleh MyCC.
Keputusan tersebut kemudian dikekalkan Mahkamah Rayuan, yang menegaskan MyCC sepatutnya memberikan notis awal kepada Grab dan pihak lain untuk sebarang permintaan maklumat di bawah Seksyen 18 Akta Persaingan 2010, kerana siasatan hanya boleh dijalankan selepas menerima aduan pihak ketiga.
Membacakan keputusan sebulat suara, Datuk Lim Chong Fong menyatakan, siasatan MyCC menafikan hak syarikat-syarikat tersebut untuk mengetahui butiran aduan, manakala surat yang dihantar suruhanjaya kepada responden juga tidak jelas dan mengelirukan.
Chong Fong turut menjelaskan, Seksyen 35 hingga 40 Akta Persaingan tidak menyediakan mekanisme dalaman untuk mencabar keputusan cadangan denda, maka langkah Grab memohon remedi kehakiman adalah wajar kerana tiada saluran dalaman disediakan bagi mencabar keputusan tersebut.
Pada tahun 2019, MyCC mencadangkan untuk mengenakan denda RM86.77 juta terhadap Grab selepas mendapati syarikat itu berkemungkinan menyalahgunakan kedudukan dominan dengan menghadkan pemandu daripada mengiklankan pesaing dalam pasaran media transit.
Dalam prosiding mahkamah, Grab diwakili Datuk Malik Imtiaz Sarwar, Yvonne Lim, Shanthi Kandiah, Angela Hii dan Azyan Ibrahim, manakala Datuk V Sithambaram bertindak bagi pihak MyCC.- DagangNews.com








