Goldfinch rancang IPO di Pasaran ACE perluas rangkaian perniagaan emas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Goldfinch rancang IPO di Pasaran ACE perluas rangkaian perniagaan emas

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Okt – Goldfinch Group Bhd, peruncit barangan kemas emas dan jongkong pelaburan, merancang untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi mengumpul dana untuk memperluaskan operasi perniagaan dan pembangunan jenama.

 

Menurut draf prospektusnya, IPO itu akan melibatkan terbitan 112.5 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan sebanyak 15.75 juta saham sedia ada, dengan keseluruhan pelaksanaan ini menawarkan 28.5% pegangan ekuiti kepada pelabur.

 

Hasil daripada tawaran untuk jualan akan diperoleh oleh Khoo Chin Huat, pemegang saham terbesar Goldfinch dan isterinya Ng Soo Kim yang akan melepaskan pegangan gabungan sebanyak 3.5%. 

 

Pegangan saham mereka akan berkurang daripada 70% kepada 49% selepas penyenaraian.

 

Goldfinch merancang untuk menggunakan dana hasil IPO bagi membuka 17 cawangan baharu, sekali gus memperluas rangkaiannya daripada 66 cawangan sedia ada di seluruh negara. 

 

Ketika ini, 63 cawangan terletak di Semenanjung Malaysia manakala tiga lagi di Sabah.

 

Selain itu, sebahagian dana akan digunakan untuk memperkukuh jenama serta penglibatan pelanggan melalui strategi pemasaran berfokus, termasuk kempen promosi, pengiklanan digital serta penyertaan dalam pameran perdagangan dan acara berkaitan.

 

Syarikat itu ditubuhkan pada tahun 2012 dan beribu pejabat di George Town, Pulau Pinang. 

 

Goldfinch menjual produknya di bawah jenama “Goldfinch Jewelry” yang menawarkan pelbagai barang kemas emas serta jongkong pelaburan berkualiti tinggi.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY2024), syarikat itu mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM5.58 juta dengan hasil pendapatan RM111.08 juta.

 

Margin keuntungan selepas cukai (PAT) berada pada paras 5.03%, sedikit lebih rendah berbanding 5.22% pada FY2023 namun meningkat daripada 3.14% pada FY2022.

 

Bagi FY2024, wilayah utara menyumbang bahagian terbesar hasil pendapatan syarikat iaitu sebanyak 48.52%, diikuti wilayah tengah (29.05%), wilayah selatan (14.27%), wilayah timur (4.07%) dan Sabah (3.71%).

 

M&A Securities Sdn Bhd dilantik sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi pelaksanaan IPO ini. - DagangNews.com