Golden Destinations sasar kutipan RM90 juta melalui IPO di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Golden Destinations sasar kutipan RM90 juta melalui IPO di Pasaran ACE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Mac – Golden Destinations Group Berhad menyasarkan kutipan kira-kira RM90 juta melalui penerbitan 200 juta saham baharu pada harga RM0.45 sesaham melalui tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Agensi pelancongan itu menguruskan pakej perjalanan di bawah jenama Golden Destinations (GD) yang beroperasi terutamanya melalui model perniagaan B2B dengan jalinan rangkaian ejen pelancongan di seluruh negara.

 

Pengarah Urusan Golden Destinations, Mita Lim berkata pelancaran prospektus menandakan langkah penting dalam perjalanan korporat syarikat. 

 

“IPO ini akan membolehkan syarikat memperkukuh operasi, meningkatkan jenama dan memperluaskan tawaran pakej perjalanan antarabangsa,” katanya.

 

Syarikat itu menumpukan kepada penyediaan pakej perjalanan dan koordinasi pelbagai perkhidmatan sepanjang pengembaraan ke luar negara. 

 

Dengan rangkaian ejen pelancongan yang luas, Golden Destinations mampu mengedarkan produk dan perkhidmatan mereka dengan lebih berkesan ke pasaran.

 

Tambahnya, hasil kutipan IPO akan digunakan untuk beberapa inisiatif strategik, termasuk RM50 juta bagi pembinaan ibu pejabat baharu untuk menyatukan operasi dan menyokong pertumbuhan kakitangan. Langkah ini dijangka meningkatkan keberkesanan operasi syarikat.

 

t

 

“Selain itu, RM13.5 juta diperuntukkan bagi memperkukuh pemasaran dan promosi, khususnya di Malaysia dan Singapura dalam usahanya meningkatkan pengiktirafan jenama dan memperkuat kedudukan syarikat dalam industri pelancongan antarabangsa.

 

“Golden Destinations juga bercadang untuk memperluaskan kehadiran  dengan peruntukan RM6 juta, termasuk meningkatkan penembusan pasaran di Sarawak dan Sabah serta meninjau peluang di pasaran Singapura,” katanya.

 

Syarikat akan menambah RM4 juta untuk meningkatkan sistem IT dan infrastruktur operasi. Langkah ini bertujuan memperbaiki aliran kerja, memperkukuh keupayaan data, dan menyokong skala operasi yang semakin berkembang.

 

Selain itu, RM6 juta diperuntukkan untuk menambah tenaga kerja, bagi memperkukuh kemampuan perkhidmatan dan memenuhi permintaan pelanggan yang meningkat. RM4 juta lagi akan digunakan sebagai modal kerja, termasuk pembayaran gaji dan manfaat kakitangan serta kos pentadbiran dan operasi lain.

 

Kos penyenaraian di Bursa Malaysia dianggarkan sebanyak RM6.5 juta dan akan ditanggung melalui dana IPO. Dengan langkah ini, syarikat bersedia menyelesaikan proses penyenaraian di Pasaran ACE.

 

Permohonan untuk IPO akan dibuka pada 26 Mac 2026 pagi dan ditutup pada 6 April 2026 pada pukul 5 petang. Penyenaraian dijadualkan pada 16 April 2026.

 

UOB Kay Hian (M) Sdn Bhd, yang bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin dan ejen penempatan untuk IPO ini, berkata Golden Destinations mempunyai jenama yang kukuh serta rangkaian pengedaran yang luas.

 

Model B2B syarikat dan kepelbagaian pakej perjalanan menjadikan mereka bersedia untuk merebut pertumbuhan jangka panjang dalam permintaan perjalanan antarabangsa. - DagangNews.com