Golden Destinations catat keuntungan bersih RM8.1 juta pada suku pertama 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Golden Destinations catat keuntungan bersih RM8.1 juta pada suku pertama 2026

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 April – Golden Destinations Group Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM8.1 juta bagi suku pertama berakhir 31 Disember 2026 (1QFY2026), menjelang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Dalam makluman kepada bursa, kumpulan itu turut merekodkan hasil sebanyak RM127.24 juta bagi tempoh berkenaan, dengan sebahagian besar sumbangan diperoleh daripada segmen pelancongan.

 

Syarikat itu memaklumkan tiada perbandingan tahun ke tahun disediakan memandangkan ini merupakan laporan interim pertama sebelum penyenaraian rasmi.

 

Bagi pecahan segmen, perniagaan “travel experience” menyumbang RM91.25 juta kepada hasil kumpulan, manakala segmen tiket dan perkhidmatan lain menyumbang RM35.99 juta.

 

Dari segi pasaran, Asia muncul sebagai penyumbang utama pendapatan kumpulan, diikuti Eropah serta rantau lain termasuk Amerika, Timur Tengah, Afrika dan Oceania.

 

Kumpulan itu berkata ia melihat perubahan dalam trend perjalanan apabila pelancong semakin cenderung memilih destinasi Asia berikutan ketegangan geopolitik di Timur Tengah.

 

Menurutnya, keadaan itu dijangka memberi manfaat kepada perniagaan kerana Asia merupakan fokus utama pakej pengalaman pelancongan syarikat.

 

“Kumpulan akan terus memperkukuh jenama serta melaksanakan pelan pengembangan perniagaan seperti yang dinyatakan dalam prospektus,” kata syarikat itu dalam makluman tersebut.

 

Sebagai sebahagian daripada tawaran awam permulaan (IPO), Golden Destinations menyasarkan untuk mengumpul sehingga RM135 juta dengan harga IPO ditetapkan pada 45 sen sesaham.

 

Sebahagian dana IPO itu akan digunakan bagi pengembangan ibu pejabat berpusat serta aktiviti pemasaran, selain rancangan pengembangan ke Sabah, Sarawak dan Singapura.

 

Baki dana pula akan digunakan bagi tawaran jualan oleh pengasasnya, Mita Lim, yang dijangka meraih kira-kira RM45 juta daripada pelupusan saham tersebut.

 

Pada harga IPO berkenaan, kumpulan itu diunjurkan mempunyai nilai pasaran sekitar RM450 juta selepas penyenaraian.

 

Sebelum ini, IPO syarikat itu dilaporkan terlebih langgan sebanyak 2.1 kali, mencerminkan minat pelabur yang kukuh terhadap sektor pelancongan. - DagangNews.com