KUALA LUMPUR 31 Mac - Glomac Berhad mengumumkan beberapa pelantikan baharu bagi mengisi jawatan utama sebagai sebahagian usaha memperkukuhkan pasukan pengurusan kumpulan berkenaan.
Pelantikan tersebut membabitkan Pengurus Besar, Perbendaharaan Kumpulan dan Kewangan Korporat, Tan Soon Meng yang akan memangku jawatan Ketua Pegawai Kewangan berkuat kuasa serta-merta.
Ia susulan persaraan Ketua Pegawai Operasi, Ong Shaw Ching yang telah berkhidmat hampir 30 tahun bersama Kumpulan.
Dalam kenyataan hari ini, Glomac berkata, pelantikan secara dalaman Soon Meng mencerminkan kekuatan pembangunan bakat serta perancangan penggantian yang tersusun dalam organisasi berkenaan.

Soon Meng yang menyertai Kumpulan pada Mac 2022 memiliki lebih 18 tahun pengalaman dalam kewangan korporat, kepimpinan kewangan dan transaksi strategik merentasi syarikat tersenarai awam serta kumpulan pembangunan hartanah.
Beliau merupakan Fellow Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA), ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA), serta memiliki Ijazah Sarjana Pembangunan Hartanah dari Universiti Tunku Abdul Rahman dengan kerjasama REHDA Institute.
“Beliau disokong oleh pasukan kewangan yang berpengalaman luas dengan pengetahuan institusi yang mendalam, sekali gus memastikan kesinambungan pelaksanaan operasi,” kata Glomac dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Lembaga Pengarah dan pengurusan Glomac merakamkan penghargaan kepada Shaw Ching atas sumbangan dan dedikasi beliau sepanjang tempoh perkhidmatan bersama Kumpulan.
Perkukuh kepimpinan dan strategi pertumbuhan
Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kepimpinan, Glomac baru-baru ini turut melantik FD Idzham sebagai Pengarah Eksekutif Kumpulan.
Dalam peranan baharu itu, beliau akan menyokong keutamaan pertumbuhan Kumpulan, menyelia pelaksanaan portfolio pembangunan serta memperkukuh disiplin modal, integrasi operasi dan penciptaan nilai jangka panjang.
FD Idzham mempunyai latar belakang kukuh dalam pasaran modal dan strategi korporat, selain pernah memegang jawatan kanan dalam Kumpulan serta memulakan kerjaya dalam perbankan pelaburan di Maybank Investment Bank Berhad.
Sementara itu, Glomac turut mengumumkan pelantikan Datuk Ts. Sr Hadyan Ibrahim sebagai Ketua Pegawai Pembangunan berkuat kuasa 3 Februari 2026.
Hadyan membawa pengalaman luas dalam sektor pembangunan hartanah dengan rekod prestasi cemerlang dalam pembangunan berskala besar, pelaksanaan projek dan kepimpinan organisasi.
Beliau juga merupakan Profesor Adjung di Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia serta Felo ELITE di University of Malaya.
Menurut Glomac, pelantikan strategik ini mencerminkan kedalaman kepimpinan serta perancangan penggantian yang mantap, sekali gus memastikan peralihan yang lancar dalam organisasi.
“Lembaga Pengarah yakin pasukan kepimpinan yang diperkukuh ini akan terus memacu pertumbuhan Kumpulan dan menyampaikan nilai mampan jangka panjang kepada para pemegang kepentingan,” tambah kenyataan itu. - DagangNews.com








