Globaltec bersedia jual metana arang batu kepada pengedar gas nasional Indonesia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Globaltec bersedia jual metana arang batu kepada pengedar gas nasional Indonesia

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 April — Globaltec Formation Berhad melalui anak syarikatnya, NuEnergy Gas Ltd bersedia menjual metana arang batu setelah memuktamadkan perjanjian jual beli dengan pengedar gas nasional Indonesia, PT Perusahaan Gas Negara (PGN) pada akhir 2024.


Anak syarikat tersenarai awam di Australia itu sebelum ini telah pun memulakan aktiviti penyediaan tapak penggerudian menerusi kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) yang terletak di Tanjung Enim, Wilayah Sumatera Selatan, Indonesia.


Kumpulan itu dalam laporan aktiviti suku tahunannya berkata, NuEnergy semakin menghampiri pengeluaran metana dasar arang batu pertama di bawah inisiatif penjualan gas melalui satu lagi anak syarikatnya, Dart Energy (Tanjung Enim) Pte Ltd.


"Kerja-kerja penyediaan tapak penggerudian melibatkan pembinaan jalan masuk, baik pulih jambatan, pembersihan tanah dan asas, lubang lumpur serta timbunan suar," kata Globaltec dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.


Kawasan tersebut juga katanya, termasuk tapak yang ditetapkan untuk kemudahan gas asli termampat dan dikendalikan oleh PGN dengan telaga pertama daripada empat telaga dijangka dapat disempurnakan pada Mei 2025.


Di tempat lain, NuEnergy meneruskan operasi penyahairan di PSC Muralim, juga di Sumatera Selatan bagi tugas pengumpulan data pengeluaran gas dan sedang menunggu kelulusan kerajaan Indonesia untuk permit alam sekitar di PSC Muara Enim.


Dalam perkembangan secara berasingan, syarikat tersebut sedang dalam proses untuk melepaskan PSC Muara Enim II.


Pada akhir suku pertama, NuEnergy mencatatkan aliran keluar tunai operasi bersih sebanyak A$143,000 (RM396,973) dengan perbelanjaan modal A$822,000 (RM2.28 juta).


NuEnergy merupakan sebuah syarikat tenaga bersih bebas yang memberi tumpuan kepada gas bukan konvensional di Indonesia dengan memegang tiga PSC metana dasar arang batu di Sumatera Selatan.


Ia bertujuan menyepadukan aset-aset itu ke dalam hab pengeluaran metana dasar arang batu, dengan menyasarkan bekalan tenaga mampan kepada pasaran Indonesia yang semakin berkembang. - DagangNews.com