KUALA LUMPUR 3 Julai – Penyedia perkhidmatan pengurusan fasiliti bersepadu, GFM Services Berhad mengambil alih 60% kepentingan dalam penyedia perkhidmatan minyak dan gas, Shapadu Energy Sdn Bhd bernilai RM30 juta secara tunai.
Langkah itu adalah sebahagian usaha strategik kumpulan untuk memperkukuhkan kehadirannya dalam segmen penyelenggaraan berasaskan tenaga bernilai tinggi.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, GFM berkata, ia akan memperoleh pegangan tersebut daripada Shapadu Corp Sdn Bhd.
Pada Disember tahun lalu, DagangNews.com telah melaporkan rancangan itu susulan termeterainya Perjanjian Utama (HOA) di mana GFM pada asalnya bercadang membeli 45% pegangan ekuiti untuk pertimbangan pembelian indikatif bernilai RM30 juta.
GFM turut memaklumkan bahawa ia telah memeterai perjanjian opsyen beli bersyarat yang memberikan Shapadu Corp hak untuk membeli semula 15% pegangan dalam Shapadu Energy berharga RM10 juta dalam tempoh 24 bulan selepas urus niaga dimuktamadkan.
Menurut syarikat, langkah itu membolehkan GFM memperluaskan perniagaan pengurusan fasiliti dalam sektor minyak dan gas selain memberikan ruang kepada Shapadu Corp untuk mendapatkan semula sebahagian pemilikan pada masa akan datang.
Pembelian tersebut akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman bank, dengan perincian struktur pembiayaan akan ditentukan kemudian.
Pengarah Urusan GFM, Ruslan Nordin berkata, pengambilalihan itu adalah langkah strategik yang penting untuk memperkukuh keupayaan kumpulan dalam bidang pengurusan fasiliti minyak dan gas.
"Ia satu pencapaian penting dalam strategi jangka panjang kumpulan untuk memperluaskan penglibatan dalam segmen bernilai tinggi ini.
"Transaksi ini akan memberi akses segera kepada pangkalan pelanggan, sumber dan kepakaran milik Shapadu Energy," katanya.
Shapadu Energy, melalui anak syarikat miliknya, Shapadu CR Asia, memegang kontrak utama bagi perkhidmatan penyelenggaraan menyeluruh, mekanikal dan mekanikal statik daripada Pengerang Refining Company Sdn Bhd dan Pengerang Petrochemical Company Sdn Bhd .
Kedua-duanya adalah usaha sama antara Petronas dan Saudi Aramco.
Dengan selesainya pengambilalihan tersebut, GFM akan memegang 60% kepentingan dalam Shapadu Energy manakala baki 40% dikekalkan oleh Shapadu Corp.
Shapadu Energy akan beroperasi sebagai anak syarikat GFM namun akan terus diurus secara bebas.
Transaksi itu dijangka selesai menjelang separuh kedua tahun 2025 bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan. - DagangNews.com








