ISKANDAR PUTERI 12 Dis - Persimpangan bertingkat Gerbang Nusajaya yang dirasmikan semalam membawa makna yang sangat dekat dengan kehidupan rakyat sekitarnya, menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Shaharul Farez Hassan.
Katanya, persimpangan bertingkat yang dibina dengan kos RM166.4 juta itu bermaksud perjalanan yang lebih singkat dan selamat, akses yang lebih lancar ke tempat kerja dan pusat perkhidmatan, pergerakan logistik yang lebih cekap, serta kualiti hidup yang lebih baik untuk keluarga di Iskandar Puteri dan sekitarnya.
"Hari ini bukan sekadar satu acara perasmian infrastruktur. Hari ini adalah satu detik penting dalam perjalanan pembangunan Iskandar Puteri, serta satu pencapaian bersama hasil kepercayaan, kerjasama dan kesungguhan semua pihak kerajaaan, pihak berkuasa teknikal, rakan strategik dan komuniti setempat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian persimpangan bertingkat berkenaan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Dibangunkan secara bersama oleh anak syarikat UEM Sunrise, Nusajaya Rise Sdn Bhd, dengan kerjasama Leisure Farm Corporation Sdn Bhd, Gerbang Nusajaya menampilkan persimpangan jejambat berkonsepkan 'trompet' sebagai ciri utama, dilengkapi rangkaian jalan tempatan yang dinaik taraf, serta laluan masuk dan keluar yang dipertingkatkan di sekitar Gelang Patah dan Gerbang Nusajaya.
Shaharul Farez berkata, Gerbang Nusajaya merupakan sebahagian daripada ekosistem pembangunan bandar Iskandar Puteri yang sedang pesat berkembang.
Dalam lingkungan pengaruhnya, terdapat kawasan kediaman, hab pendidikan, pusat komersial, serta zon perindustrian dan logistik yang semakin aktif.
Katanya, dengan adanya persimpangan ini, akses tenaga kerja menjadi lebih lancar, pergerakan barangan lebih cekap, dan keseluruhan ekosistem ekonomi dapat berfungsi dengan lebih baik.
"Bagi warga setempat yang berulang-alik setiap hari, setiap minit yang dijimatkan di atas jalan raya adalah masa berharga bersama keluarga, masa untuk berehat, dan masa untuk kehidupan yang lebih seimbang. Inilah makna sebenar pembangunan yang berteraskan rakyat," ujarnya lagi.
Shaharul Farez menambah, pertumbuhan sesebuah bandar tidak diukur hanya melalui pelan dan angka di atas kertas, tetapi melalui permintaan sebenar untuk didiami.
"Di Gerbang Nusajaya, ini terbukti melalui kejayaan Aspira Hills apabila fasa terakhir habis dijual dalam tempoh yang amat singkat.
"Ini jelas membuktikan bahawa Iskandar Puteri semakin menjadi pilihan sebagai tempat tinggal, bukan sekadar sebagai lokasi pelaburan, tetapi sebagai komuniti sebenar untuk membina kehidupan dan keluarga.
"Dengan adanya persimpangan ini, daya tarikan kawasan ini akan menjadi lebih kukuh dan mampan," katanya.
Shaharul Farez menambah, sebagai pemaju bandar bersepadu, UEM Sunrise percaya bahawa perumahan yang baik perlu dilengkapi dengan peluang pekerjaan yang berkualiti.

Di sinilah ujarnya, Nusajaya Tech Park dan Southern Industrial and Logistics Clusters (SILC) berperanan penting dalam menyokong pertumbuhan industri berteknologi tinggi, memperkukuh rantaian bekalan dan logistik, serta mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Johor.
"Skala ini mencerminkan komitmen kami untuk mewujudkan nilai jangka panjang, memacu inovasi bandar dan menjulang pembangunan mampan untuk kepentingan rakyat Johor.
"Kami juga berdiri teguh di belakang aspirasi Kerajaan Negeri Johor untuk melihat negeri ini terus maju, mampan dan berdaya saing.
"Sebagai rakan pembangunan, kami komited untuk terus menyumbang dalam pembinaan bandar, menyokong pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan serta membina kejiranan yang selesa dan selamat untuk rakyat," katanya. - DagangNews.com








