KUALA LUMPUR 28 Okt – Geohan Corporation Berhad menandatangani perjanjian taja jamin dengan Alliance Islamic Bank Berhad bagi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Geohan diwakili oleh Pengarah Urusannya, Lee Kim Seng, manakala Alliance Islamic Bank Berhad diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Rizal Il-Ehzan Fadil Azim.
Geohan, melalui subsidiarinya, terlibat dalam penyediaan perkhidmatan asas dan geoteknik serta perkhidmatan berkaitan untuk pelbagai projek pembinaan berskala besar.
IPO syarikat ini melibatkan penerbitan awam 132 juta saham baharu, yang mewakili 30% daripada jumlah saham selepas penyenaraian sebanyak 440 juta saham.
Daripada 132 juta saham baharu yang diterbitkan, 22 juta akan ditawarkan kepada orang awam, 11 juta kepada pengarah, pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan syarikat, 55 juta akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Selain itu, 44 juta lagi akan diperuntukkan kepada pelabur institusi dan terpilih.
Lee Kim Seng berkata, pencapaian ini adalah satu permulaan penting bagi Geohan dan merupakan pengiktirafan terhadap dedikasi serta bakat kakitangan syarikat selama ini.
“Syarikat merancang meningkatkan kapasiti mesin dan peralatan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek di pelbagai lokasi, memperkukuh daya saing dan menyokong pelan pertumbuhan ke Singapura.
“Komitmen utama syarikat pastinya untuk menyediakan penyelesaian asas dan geoteknik yang boleh dipercayai dan inovatif, katanya.
Geohan Corporation Berhad adalah pakar dalam asas dan geoteknik di Malaysia.
Syarikat itu menyediakan perkhidmatan seperti kerja cerucuk, pembinaan dinding penahan tanah, sub-struktur, penstabilan cerun, dan penambahbaikan tanah.
Operasinya disokong oleh depot di Bukit Beruntung yang menempatkan mesin dan bengkel penyelenggaraan sendiri.
Geohan terlibat dalam banyak projek ikonik termasuk First World Hotel, Sky Avenue, kereta kabel Genting Highlands, MRT Lembah Klang, Laluan Rel Pantai Timur, serta pelbagai pembangunan kediaman dan komersial.
Alliance Islamic Bank Berhad berperanan sebagai penasihat utama, penjamin utama dan ejen penempatan untuk IPO ini. - DagangNews.com








