KUALA LUMPUR 3 Dis – Geohan Corporation Berhad (Geohan), syarikat perkhidmatan kejuruteraan geoteknik yang bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 5 Disember 2025 mencatat hasil sebanyak RM91.17 juta pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (3QFY2025).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, segmen perkhidmatan asas dan geoteknik kekal sebagai penyumbang terbesar pada 93.54% daripada jumlah hasil.
“Baki 6.46% pula disumbangkan oleh perkhidmatan berkaitan lain.
“Prestasi itu membolehkan Geohan merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM3.90 juta dan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM2.65 juta.
“Selepas melaraskan perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja berjumlah RM1.14 juta, PBT terlaras meningkat kepada RM5.04 juta, manakala PAT terlaras mencecah RM3.79 juta bagi suku tersebutm,” katanya dalam makluman tersebut.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025 (9MFY2025), Geohan mencatat PBT sebanyak RM17.23 juta dan PAT sebanyak RM12.47 juta, disokong oleh hasil terkumpul RM263.07 juta.
Majoriti hasil sembilan bulan itu disumbangkan oleh projek kediaman, pembangunan bercampur dan infrastruktur.
Selepas pelarasan bagi perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja sebanyak RM2.24 juta, PBT terlaras 9MFY2025 meningkat kepada RM19.47 juta, manakala PAT naik kepada RM14.71 juta.
Angka ini masing-masing mewakili 85.59% dan 89.31% daripada PBT dan PAT terlaras setahun penuh FYE2024, iaitu RM22.75 juta dan RM16.47 juta.
Geohan menjelaskan prestasi yang kukuh itu turut dipacu oleh keuntungan bersih RM5.49 juta daripada pelupusan harta, loji dan peralatan, serta pembalikan peruntukan kerugian kontrak boleh dijangka berjumlah RM3.72 juta.
Pengarah Urusan Geohan, Lee Kim Seng berkata, keputusan suku ketiga itu menunjukkan keuntungan syarikat kekal di landasan yang betul.
“Pelaksanaan projek yang stabil dan buku pesanan yang kukuh meletakkan Geohan dalam kedudukan baik untuk mengekalkan trajektori positif serta memanfaatkan peluang pertumbuhan baharu,” katanya.
Setakat 30 September 2025, syarikat itu mengekalkan kedudukan kewangan kukuh dengan tunai dan baki bank berjumlah RM34.25 juta, di samping nisbah gear bersih sihat pada 0.51 kali.
Kedudukan ini memberikan fleksibiliti bagi menyokong operasi berterusan dan peluang pertumbuhan masa depan.
Geohan akan membuat kemunculan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad pada 5 Disember 2025 dengan modal pasaran RM242 juta, berdasarkan modal saham terbitan diperbesarkan sebanyak 440 juta saham dan harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 55 sen sesaham.
Geohan, yang ditubuhkan pada 1996, merupakan penyedia perkhidmatan asas dan geoteknik merangkumi kerja cerucuk, struktur penahan tanah, kerja sub-struktur, penstabilan cerun dan penambahbaikan tanah. - DagangNews.com








