KUALA LUMPUR 31 Mac - Genting Plantations Bhd (GENP) dijangka berdepan tekanan kos pengeluaran yang semakin meningkat, didorong oleh potensi kenaikan harga baja khususnya urea yang boleh menjejaskan margin keuntungan kumpulan menjelang separuh kedua tahun kewangan 2026 (2H2026).
MBSB Research berkata, walaupun keperluan baja bagi separuh pertama 2026 sebahagian besarnya telah dilindungi melalui pembelian awal, situasi bagi separuh kedua masih tidak menentu berikutan proses tender yang terdedah kepada turun naik harga pasaran semasa.
“Sekiranya harga urea kekal tinggi dalam tempoh lebih lama, ini akan meningkatkan risiko kos kepada kumpulan, sekali gus memberi tekanan kepada margin operasi,” katanya dalam satu nota kajian hari ini.
Menurutnya, kos baja secara sejarah menyumbang kira-kira 12% daripada keseluruhan kos pengeluaran, menjadikannya antara komponen utama dalam struktur kos perladangan.
Bagaimanapun, tekanan kenaikan kos ini masih dilihat boleh diurus dan dijangka tidak setinggi paras yang pernah dicatatkan sebelum ini ketika gangguan rantaian bekalan global susulan konflik Rusia-Ukraine.
Prospek Keseluruhan
MBSB Research berkata, prospek keseluruhan GENP kekal kukuh disokong oleh harga minyak sawit mentah (CPO) yang stabil, namun sebarang peningkatan kos input berpotensi mengehadkan pengembangan margin dalam tempoh jangka sederhana.
Firma penyelidikan menaik taraf penarafan GENP kepada BELI dengan sasaran harga (TP) disemak kepada RM5.80 berbanding RM5.14 sebelum ini, selepas prospek pendapatan kumpulan dilihat kekal berdaya tahan disokong harga CPO yang kukuh.
Penilaian tersebut bersandarkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) tahun kewangan 2026 sebanyak 37.9 sen dengan gandaan nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 13 kali, mengambil kira diskaun risiko operasi serta purata sejarah hampir lima tahun.
Segmen huluan dijangka terus menjadi pemacu utama keuntungan, menyumbang sekitar 85% hingga 90% daripada keseluruhan pendapatan bagi tempoh 2024 hingga 2025.
"Dengan jangkaan harga CPO kekal tinggi, margin keuntungan kumpulan diunjur stabil pada paras 10% hingga 11% dalam tempoh dua tahun akan datang," katanya.
Dalam pada itu, prospek segmen huluan kekal stabil disokong pertumbuhan sederhana pengeluaran buah tandan segar (FFB) sekitar 3% hingga 5%, bergantung kepada keadaan cuaca yang lebih normal.
Penambahbaikan keadaan cuaca di Sabah termasuk pengurangan banjir serta musim monsun yang berakhir lebih awal turut membantu meningkatkan kualiti hasil serta mengekalkan kadar perahan minyak (OER) dalam julat 21% hingga 22%.
Pertumbuhan jangka sederhana pula terus disokong profil usia pokok yang semakin matang di Indonesia serta kawasan tanaman semula di Malaysia, dengan kira-kira 60% ladang kini berada dalam fasa produktif.
Segmen Hiliran Masih Berdepan Cabaran
Sementara itu, segmen hiliran masih berdepan cabaran apabila kadar penggunaan kekal rendah, dengan aktiviti biodiesel di bawah 20% dan penapisan sekitar 40%, mencerminkan permintaan domestik yang belum pulih sepenuhnya.
Permintaan eksport juga kekal lemah khususnya dari China yang beralih kepada sumber alternatif seperti kacang soya, sekali gus mengekang pemulihan margin hiliran dalam jangka pendek.
Dari sudut serantau, permintaan biodiesel menunjukkan trajektori berbeza antara Malaysia dan Indonesia. Malaysia masih bergelut dengan kekangan dasar untuk meningkatkan kadar campuran melebihi B10 dan B20, manakala Indonesia dilihat lebih agresif dengan laluan ke arah B45 dan berpotensi B50.
Perkembangan ini dijangka terus memihak kepada Indonesia sebagai pemacu utama pertumbuhan permintaan biodiesel serantau.
Dari segi kewangan, unjuran pendapatan 2026 disemak turun sedikit sebanyak 2.2% mengambil kira kos pengeluaran yang kekal tinggi. Namun, kedudukan kewangan kumpulan kekal kukuh dengan isu rosot nilai serta denda kawal selia sebelum ini telah diselesaikan.
"Kadar pembayaran dividen pula dijangka kekal melebihi 60%, disokong aliran tunai yang stabil serta keperluan perbelanjaan modal yang terkawal, walaupun kecairan dagangan saham masih terhad," kata MBSB Research. - DagangNews.com








