KUALA LUMPUR 20 April — Genting Malaysia Berhad (GENM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan AGIBOT Innovation (Shanghai) Technology Co. Ltd bagi membangunkan serta meneroka penggunaan robotik kecerdasan buatan (AI) fizikal dalam sektor hospitaliti dan hiburan.
Perjanjian strategik itu dimeterai sempena Persidangan Rakan AGIBOT 2026 (APC2026) di Shanghai, China, yang menghimpunkan pemain industri global bagi membincangkan masa depan teknologi robotik serta ekosistem berasaskan AI.
Dalam satu kenyataan, GENM berkata kerjasama itu bertujuan membangunkan rangka kerja kolaboratif bagi meneroka nilai komersial penyelesaian robotik berasaskan konsep “embodied AI” atau robot fizikal pintar yang mampu berinteraksi dalam persekitaran dunia sebenar.
"Ia melibatkan integrasi teknologi robotik dalam tiga segmen utama iaitu taman tema, perkhidmatan hospitaliti serta industri hiburan, termasuk penggunaan robot humanoid untuk interaksi pelanggan, sokongan operasi dan persembahan pentas secara langsung.
"Inisiatif itu juga merangkumi usaha penyelidikan dan pembangunan bersama, pelaksanaan projek perintis serta pembinaan ekosistem aplikasi robotik berskala bagi penggunaan jangka panjang," menurut kenyataan itu.


GENM diwakili Ketua Pegawai Operasi Resorts World Genting, Aaron Chia Khong Chid dengan kehadiran barisan kepimpinan tertinggi termasuk Lim Kok Thay selaku Pengerusi Eksekutif Kumpulan Genting, Datuk Indera Lim Keong Hui serta Lee Thiam Kit.
Sementara itu, AGIBOT diwakili Pengarah AGIBOT Malaysia, Steven Ding, bersama kepimpinan kanan termasuk Abel Deng selaku Presiden Rantau Asia Pasifik dan Timur Tengah, Deng Taihua sebagai Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif serta Daniel Jiang, Presiden Bersama syarikat tersebut.
Sebagai sebahagian fasa awal, GENM akan memperoleh dan menguji robot fizikal daripada AGIBOT bagi tujuan integrasi operasi di beberapa lokasi, termasuk perkhidmatan pelanggan di resort bersepadu tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, AGIBOT turut mengumumkan rancangan menganjurkan Persembahan Gala Robotik pertama di Malaysia yang dijangka berlangsung di RWG pada awal 2027, menampilkan robot AI dalam persembahan hiburan imersif secara langsung.
AGIBOT pada masa sama memaklumkan ia telah mencapai pengeluaran 10,000 unit robot setakat Mac 2026, menandakan kemampuan pengeluaran berskala besar serta kematangan teknologi syarikat dalam pasaran global.
GENM pula memiliki portfolio operasi antarabangsa merangkumi Malaysia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Bahamas dan Mesir, menjadikan kumpulan itu antara operator resort bersepadu terbesar di dunia di bawah Kumpulan Genting.
Secara keseluruhan, kerjasama ini dilihat sebagai langkah strategik yang menggabungkan kekuatan operasi hospitaliti GENM dengan kepakaran robotik AGIBOT, sekali gus membuka potensi baharu dalam transformasi pengalaman pelancongan berasaskan teknologi di peringkat serantau. - DagangNews.com








