KUALA LUMPUR 12 Ogos - Gelanggang tenis dan skuasy semakin kurang mendapat perhatian pembeli kediaman di Malaysia, dengan kemudahan seperti pengecas kenderaan elektrik (EV), gelanggang pickleball, loker bungkusan dan ruang kerja bersama semakin menjadi pilihan.
Dapatan itu berdasarkan analisis Juwai IQI terhadap lebih 230,000 transaksi kediaman sejak 2018, yang menunjukkan perubahan ketara dalam keutamaan pembeli terhadap kemudahan di projek kediaman.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari, berkata kemudahan yang menjadi pilihan pembeli hari ini jauh berbeza berbanding lima tahun lalu, khususnya dalam segmen kediaman mewah.
"Kemudahan yang semakin kurang mendapat permintaan ialah gelanggang tenis dan skuasy kerana mengambil terlalu banyak ruang, memerlukan kos penyelenggaraan tinggi dan tidak digunakan dengan secukupnya," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pembeli kediaman mewah kini lebih mengharapkan kemudahan seperti pengecas EV, gelanggang pickleball, loker bungkusan, ruang kerja bersama serta kemudahan mesra haiwan peliharaan.
Kemudahan berkenaan hadir sebagai tambahan kepada kemudahan tradisional seperti ruang barbeku, taman atas bumbung, kolam renang dan gimnasium.
Pilihan Strategik
Kashif berkata, perubahan keutamaan pembeli memerlukan pemaju memilih gabungan kemudahan yang paling sesuai bagi mengelak pembeli menjauhkan diri.
Beliau memberi contoh sesetengah projek sedia ada mula menukar gelanggang tenis kepada gelanggang pickleball atau padel.
"Empat gelanggang pickleball boleh dibina dalam ruang yang digunakan oleh satu gelanggang tenis," katanya.
Selain perubahan terhadap kemudahan fizikal, teknologi pintar dijangka menjadi elemen penting dalam pembangunan kediaman masa depan.
Kashif berkata, pengguna kini sudah menunjukkan permintaan terhadap perkhidmatan berasaskan kecerdasan buatan (AI) seperti pengecaman wajah, kunci digital dan kawalan iklim dalaman pintar.
Menurutnya, penggunaan robot dalam komuniti kediaman juga dijangka meningkat, khususnya bagi perkhidmatan penghantaran makanan dan barangan runcit terus ke kediaman.
"Perkara ini sudah berlaku di Korea dan sedang diperkenalkan di Jepun," katanya.
Namun, teknologi robot tidak semestinya memerlukan pembinaan bangunan baharu kerana bangunan sedia ada juga boleh dinaik taraf menerusi pengubahsuaian tertentu.
"Dalam tempoh lima tahun, mana-mana bangunan yang tidak mempunyai keupayaan pintar akan kelihatan ketinggalan zaman," katanya.
Mesra Haiwan Peliharaan
Selain itu kemudahan mesra haiwan peliharaan turut semakin mendapat perhatian pembeli.
Kashif berkata, lebih separuh rakyat Malaysia memiliki haiwan peliharaan, manakala kira-kira satu perempat daripada pemilik mempunyai lebih daripada seekor.
Pada masa hadapan, beliau menjangkakan pembangunan kediaman akan menawarkan pusat jagaan haiwan peliharaan di lokasi, ruang ‘catio’ tertutup serta bilik permainan kucing. - DagangNews.com








