Gangguan Selat Hormuz lonjak harga urea sehingga 47%, prospek PETRONAS Chemicals terus kukuh, kata CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gangguan Selat Hormuz lonjak harga urea sehingga 47%, prospek PETRONAS Chemicals terus kukuh, kata CGSI

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 25 Mac - Gangguan berterusan di Selat Hormuz (SoH) terus menyokong kenaikan harga urea global, dengan paras semasa menghampiri andaian AS$750 setan bagi tempoh suku kedua hingga ketiga 2026, menurut CGS International (CGSI)

 

Firma penyelidikan itu berkata, penutupan laluan strategik itu telah menghalang kira-kira 30% daripada pengeluaran urea global daripada dieksport, sekali gus mendorong harga jualan di Asia Tenggara melonjak 47% kepada sekitar AS$720 setan sejak konflik AS/Israel-Iran bermula pada 27 Februari lalu.

 

Menurut firma itu lagi, walaupun SoH dibuka semula kelak, harga urea dijangka kekal tinggi dalam tempoh lebih panjang susulan gangguan bekalan gas global.

 

Ini berikutan serangan Israel ke atas kemudahan pemprosesan gas di medan South Pars, Iran pada 18 Mac 2026 yang mencetuskan tindak balas Iran dengan menyerang kemudahan LNG Qatar di Ras Laffan pada 18 hingga 19 Mac.

 

Firma penyelidikan menyatakan sebanyak 14% pengeluaran gas di South Pars dan 17% pengeluaran gas Qatar kini terhenti, dengan kerja pembaikan dijangka mengambil masa antara tiga hingga lima tahun.

 

“Situasi ini boleh mengekalkan harga LNG pada paras tinggi dan meningkatkan kos bahan mentah, sekali gus menyokong harga urea dalam jangka panjang,” katanya.

 

Dalam masa sama, India dilaporkan mengehadkan bekalan gas asli kepada loji urea bagi memberi keutamaan kepada penggunaan domestik, yang berpotensi mengurangkan pengeluaran urea negara itu sehingga 31% dan meningkatkan keperluan import.

 

Seiring perkembangan tersebut, purata harga jualan segmen baja dan metanol (F&M) bagi Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) dijangka meningkat 40% tahun ke tahun dalam FY26F, lebih tinggi berbanding unjuran awal 25%.

 

Bagi segmen olefin dan derivatif (O&D), harga polyethylene (PE) turut dijangka meningkat, disokong oleh penurunan kadar operasi loji global.

 

Data semasa menunjukkan harga PE telah meningkat sekitar AS$450 setan berbanding sebelum konflik, dengan potensi kenaikan lanjut dalam tempoh terdekat.

 

Selain itu, pengeluaran etilena di Asia Utara dan Asia Tenggara diunjurkan susut 10% pada Mac 2026 berbanding Februari, manakala kadar operasi jatuh kepada 71%.

 

CGSI menjangkakan tekanan bekalan akan berterusan dalam tempoh beberapa bulan akan datang berikutan eksport minyak mentah dan nafta dari Timur Tengah masih terjejas.

 

Harga HDPE di China juga telah meningkat sebanyak AS$360 setan, manakala pasaran Amerika Syarikat mencatatkan kenaikan AS$220 setan pada Mac, dengan kenaikan tambahan dijangka pada April dan Mei.

 

Kekal "Tambah", Harga Sasasan Dinaikkan

Susulan prospek yang lebih positif itu, CGSI mengekalkan saranan “TAMBAH” terhadap PCG dengan menaikkan harga sasaran kepada RM6.58 daripada RM5.56 sebelum ini.

 

Semakan itu dibuat selepas menaikkan gandaan harga kepada nilai buku (P/BV) kepada 1.4 kali, sejajar dengan peningkatan 44% dalam unjuran keuntungan bersih teras FY26F kepada RM2.2 bilion berbanding RM1.5 bilion sebelum ini.

 

Dari segi penilaian, PCG sebelum ini didagangkan dalam julat P/BV antara 1.2 hingga 1.7 kali, manakala purata sejak 2019 adalah sedikit melebihi 1.5 kali.

 

CGSI berpandangan, saham syarikat itu berpotensi dinilai semula ke paras lebih tinggi sekiranya konflik Iran berlarutan dan mencetuskan perubahan struktur dalam industri petrokimia global, termasuk pengurangan kapasiti serta penangguhan projek pengembangan di China.

 

“Jika keadaan ini berlaku, kitaran kenaikan petrokimia semasa yang dicetuskan oleh perang Iran mungkin berpanjangan, berbanding hanya terhad kepada tempoh enam bulan dari April hingga September 2026,” katanya.

 

Bagaimanapun, risiko penurunan kekal sekiranya Selat Hormuz dibuka semula lebih awal daripada jangkaan, yang boleh meningkatkan bekalan dan menekan harga produk petrokimia. - DagangNews.com