Gamuda, Sunway & Kerjaya Prospek antara penerima manfaat projek pusat data di Negeri Sembilan - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gamuda, Sunway & Kerjaya Prospek antara penerima manfaat projek pusat data di Negeri Sembilan - RHB Research

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Jan – Negeri Sembilan berpotensi menjadi hab baharu pembangunan pusat data di Malaysia, sekali gus membuka peluang besar kepada syarikat pembinaan tempatan untuk terlibat dalam projek bernilai bilion ringgit, kata RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata pihaknya telah membuat lawatan tapak di Nilai Impian dan mendapati sebuah pusat data sedang dibina dengan kemajuan projek yang memberangsangkan. 

 

“Pembangunan ini menandakan Negeri Sembilan berpotensi menjadi tumpuan teknologi selain Cyberjaya dan Johor.

 

“Sektor pembinaan di Negeri Sembilan dijangka mendapat manfaat daripada pembangunan pusat data, dengan beberapa syarikat tempatan berpeluang memenangi kontrak besar,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.

 

Tiga syarikat menjadi pilihan utama RHB Research iaitu Gamuda, Kerjaya Prospek dan Sunway Construction dengan saranan Beli serta sasaran harga RM7, RM3.35 dan RM7.32.

 

Negeri Sembilan mempunyai dua projek pusat data utama. 

 

Yang pertama ialah pusat data hijau (green DC) di Nilai yang dibangunkan oleh pelabur dari Amerika Syarikat manakala projek kedua ialah pusat data teknologi kecerdasan buatan (AI DC) di Springhill, Port Dickson.

 

Kontraktor bagi projek Nilai ialah syarikat Jepun, Kajima, yang diberi kontrak bernilai RM610 juta oleh syarikat multinasional Amerika Syarikat untuk kerja-kerja bangunan utama.

 

Bagi projek di Springhill, Gamuda diberi tanggungjawab untuk kerja persediaan tanah bernilai RM1 bilion sejak Mei 2025. Pusat data ini dijangka menyokong pembangunan teknologi AI di negeri itu.

 

Selain itu, RHB Research berkata isu bekalan air turut dipantau. 

 

“Anggaran penggunaan air bagi pusat data Nilai ialah 2.1 juta liter sehari, namun kapasiti bekalan air Negeri Sembilan pada 2024 adalah 1,050 juta liter sehari, cukup untuk menampung tambahan ini.

 

“Gamuda juga akan membina loji rawatan air berkapasiti 65 juta liter sehari bagi pusat data Springhill. Sebanyak 25 peratus kapasiti ini akan disalurkan ke kawasan perumahan berhampiran, memberi manfaat kepada komuniti setempat,” katanya.

 

Selain itu, Negeri Sembilan dijangka menerima pelaburan bernilai RM20 bilion dari Australia untuk pembangunan AI DC di Malaysia Vision Valley 2.0, dengan fasa pertama berjumlah RM10 bilion dijangka bermula 2026.

 

RHB Research menegaskan terdapat risiko yang perlu dipertimbangkan, termasuk persaingan sengit daripada kontraktor asing dan kemungkinan kelewatan aliran pelaburan pusat data.

 

“Permintaan terhadap pusat data dijangka meningkat seiring dengan pertumbuhan digital dan teknologi AI di negara ini, menjadikan sektor pembinaan yang terlibat sebagai penerima manfaat utama.

 

“Dengan perkembangan ini, Negeri Sembilan dilihat berpotensi menjadi hab pusat data baharu di Malaysia, membuka peluang besar kepada syarikat pembinaan tempatan untuk mendapatkan kontrak mega dan memperkukuh kedudukan mereka dalam industri yang berkembang pesat,” katanya. - DagangNews.com