Gamuda anugerahkan kontrak CBTC dan SCADA kepada Hitachi Rail untuk projek MRT di Taiwan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gamuda anugerahkan kontrak CBTC dan SCADA kepada Hitachi Rail untuk projek MRT di Taiwan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Julai - Hitachi Rail telah dianugerahkan kontrak untuk membekalkan sistem Kawalan Tren Berasaskan Komunikasi (CBTC) serta Kawalan Penyeliaan dan Pemerolehan Data (SCADA) untuk projek MRT Xizhi-Donghu (Xidong)–Nangang-Badu (Keelung) yang menghubungkan Bandar New Taipei dan Bandar Keelung di Taiwan.

 

Penyedia kejuruteraan rel global itu memperolehi anugerah tersebut daripada Gamuda Bhd, iaitu kontraktor utama Jabatan Sistem Transit Rapid (DORTS) Kerajaan Bandaraya New Taipei (NTCG).

 

Hitachi Rail berkata, penglibatan dalam projek tersebut akan membawa inovasi baharu kepada rangkaian transit bandar Taipei menerusi penggunaan teknologi SelTrac CBTC iaitu sistem isyarat moden berasaskan komunikasi tanpa wayar antara tren dan infrastruktur.

 

"Ia menjanjikan operasi tren yang lebih cekap dan selamat berbanding sistem konvensional.

 

"Sistem ini turut merangkumi elemen komunikasi yang canggih, platform isyarat berasaskan awan persendirian dan fungsi kawalan tren lanjutan bagi meningkatkan kecekapan operasi.

 

"Projek ini juga akan disokong oleh sistem SCADA yang menggunakan ALVEA iaitu platform yang bersifat modular, kelancaran data, penyelenggaraan lebih efisien beserta teknologi awan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Hitachi Rail Taipei, Cyrille Bataille berkata, pihaknya komited untuk terus menawarkan kepakaran penyelesaian berkualiti tinggi kepada NTCG DORTS, melalui kerjasama strategik bersama Gamuda.

 

Pengarah Wilayah Gamuda, Eric Foong Vooi Lin pula berkata, kumpulan amat teruja untuk bekerjasama dengan Hitachi Rail yang disifatkan sebagai rakan jangka panjang penting bagi projek di Taiwan dan serantau.

 

"Gamuda akan terus mengukuhkan kedudukan sebagai penyedia sistem rel global dengan kepakaran mengurus projek pelbagai disiplin sepanjang kitaran hayatnya," katanya.

 

Gamuda menjelaskan kemampuan sistemnya merangkumi integrasi komponen kritikal seperti kerja awam, sistem trek, sistem kuasa, kawalan komunikasi bersepadu (ICCS) dan sistem mekanikal elektrik.

 

Gamuda komited mahu meneruskan rekod cemerlangnya dalam pasaran serantau, termasuk projek mega seperti Projek Landasan Berkembar Elektrik (EDTP) sepanjang 329 kilometer, laluan MRT Kajang dan Putrajaya, serta Projek Isyarat Kapasiti Tinggi METRONET di Australia. - DagangNews.com