KUALA LUMPUR 27 Jan – Gaji bulanan median bagi 7.06 juta pekerja formal di Malaysia meningkat kepada RM2,864 pada September 2025, iaitu kenaikan 4.3% berbanding RM2,745 setahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata peningkatan gaji itu berlaku seiring pertumbuhan pekerjaan yang stabil, apabila bilangan pekerja formal berkembang 3.5% tahun ke tahun pada Julai, Ogos dan September 2025, mencerminkan daya tahan berterusan pasaran buruh formal sepanjang suku ketiga 2025.
Dari segi jantina, pekerja lelaki yang merangkumi 55.1% atau 3.89 juta daripada jumlah tenaga kerja formal, mencatat gaji bulanan median lebih tinggi pada RM2,900, berbanding RM2,800 bagi pekerja wanita yang mewakili 44.9% atau 3.17 juta orang.
Mengikut kumpulan umur, pekerja berusia 45 hingga 49 tahun terus mencatatkan gaji bulanan median tertinggi pada RM3,800 bagi ketiga-tiga bulan dalam suku ketiga.
“Pertumbuhan tertinggi dicatatkan oleh pekerja berumur bawah 20 tahun, dengan gaji bulanan median mencecah RM1,700 pada September 2025, meningkat 13.3% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya,” menurut DOSM.
Dari sudut sektor ekonomi, DOSM mengesahkan semua sektor mencatat peningkatan gaji median sepanjang tempoh tersebut.
Walaupun hanya mewakili 0.6% daripada pekerjaan formal, sektor perlombongan dan pengkuarian terus mencatatkan gaji median tertinggi pada RM6,600, meningkat 11.9% tahun ke tahun.
Sebaliknya, sektor pertanian yang merangkumi 1.8% pekerja formal warganegara mencatat gaji median terendah pada RM2,245.
Mengikut negeri, Kuala Lumpur kekal mencatatkan gaji bulanan median tertinggi pada RM4,064, diikuti Selangor (RM3,127) dan Pulau Pinang (RM2,927).
Gaji median terendah dicatatkan di Kelantan dan Perlis pada RM1,800, manakala Sabah dan Kedah masing-masing pada RM2,000.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, 8.8% pekerja formal memperoleh gaji di bawah RM1,700 sebulan pada September 2025, turun 13.5 mata peratusan berbanding tahun sebelumnya.
Beliau berkata, analisis peratusil turut menunjukkan 10% terbawah pekerja formal menerima gaji bulanan RM1,700 atau kurang, manakala pekerja dalam peratusil ke-90 memperoleh sekurang-kurangnya RM9,000 sebulan.
“Jurang ini menunjukkan pekerja dalam peratusil ke-90 memperoleh gaji lima kali ganda lebih tinggi berbanding kumpulan berpendapatan terendah, sekali gus menonjolkan perbezaan gaji yang masih ketara antara golongan tertinggi dan terendah,” katanya. - DagangNews.com








