KUALA LUMPUR 23 Feb — Gadang Holdings Berhad memperoleh kontrak bernilai RM95.14 juta bagi melaksanakan kerja tanah dan kerja berkaitan untuk projek pelebaran Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak.
Syarikat itu berkata, surat penganugerahan (LOA) tender tersebut diterima oleh anak syarikat milik penuhnya, Gadang Engineering (M) Sdn Bhd, daripada AFA Construction and Engineering Sdn Bhd.
Jelasnya, kontrak berkenaan melibatkan pembinaan dan penyiapan kerja tanah serta kerja yang berkaitan bagi Pakej 1A dari KM19.2 ke KM39.0 (Seksyen 1) dan dari KM39.0 ke KM64.5 (Seksyen 2).
"Tempoh pelaksanaan tender projek terbaharu ini adalah selama 18 bulan dan dijadualkan perlu siap menjelang separuh kedua 2027," tambah Gadang dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.
Menurutnya, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan, dengan risiko dikenal pasti tertumpu kepada operasi biasa sektor pembinaan.
Syarikat turut memaklumkan tiada pengarah atau pemegang saham utama, mahupun pihak berkaitan dengan mereka, memiliki kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut.
Pada 20 Jun 2025, subsidiari Gadang itu turut menerima kontrak AFA Construction and Engineering bernilai RM92.49 juta melibakan pelebaran dua seksyen jajaran lebuh raya berkenaan. - DagangNews.com








