KUALA LUMPUR 22 Jan - Gadang Holdings Berhad mencatatkan kerugian bersih mencecah sebanyak RM6.70 juta bagi tempoh suku individu selama tiga bulan yang berakhir pada 30 November 2025.
Sementara itu, bagi tempoh kumulatif selama enam bulan, keuntungan bersih kumpulan susut sebanyak 53% kepada RM5.47 juta berbanding RM11.66 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Kemerosotan prestasi ini jelas kumpulan tersebut, sebahagian besarnya berpunca akibat kos tambahan yang perlu ditanggung serta peruntukan bagi jangkaan kerugian dalam bahagian pembinaan.
"Meskipun berdepan cabaran keuntungan, pendapatan kumpulan bagi tempoh enam bulan pula meningkat 52% kepada RM495.93 juta," kata Gadang dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bahagian pembinaan melaporkan peningkatan hasil sebanyak 80% kepada RM335.38 juta, namun ia masih kerugian sebelum cukai RM3.35 juta berbanding untung bersih RM4.50 juta pada tahun sebelumnya.
Keadaan ini jelasnya, disebabkan lonjakan kos projek sedia ada, manakala bahagian hartanah kekal sebagai penyumbang utama dengan keuntungan sebelum cukai melonjak kepada RM25.29 juta.
Prestasi kukuh ini tambah Gadang, dipacu oleh kemajuan kerja yang lebih tinggi daripada pelbagai projek pembangunan semasa, tetapi keuntungan kasar bahagian utiliti turun kepada RM1.80 juta.
"Ini disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah daripada loji jana kuasa di Indonesia, namun sebahagiannya tetapi diimbangi oleh keuntungan pertukaran mata wang asing," ujarnya lagi.
Setakat ini kumpulan menguruskan buku tempahan pembinaan berjumlah RM468.0 juta, tetapi sektor ini terus terdedah kepada risiko kenaikan kos bahan binaan, kekurangan pekerja, dan persaingan sengit.
Bagi bahagian hartanah, Gadang memiliki jualan belum dibil RM164.1 juta, dengan fokus masa depan kepada pemasaran strategik bagi pelancaran di Kwasa Damansara, Selangor dan Gelang Patah, Johor.
Kumpulan itu juga giat mengembangkan portfolio tenaga boleh diperbaharui menerusi loji solar di Tawau, Sabah yang dijangka beroperasi secara komersial pada suku ketiga tahun kewangan 2026.
"Sehingga 30 November 2025, jumlah aset kumpulan bernilai RM1.36 bilion, manakala jumlah pinjaman bank menurun kepada RM161.94 juta berbanding RM200.33 juta pada awal tahun kewangan," katanya.
Kejayaan itu jelas Gadang, hasil daripada pembayaran balik kredit pusingan bagi projek RTS Link di Johor, sementara aset bersih sesaham kekal stabil pada paras RM1.02. - DagangNews.com








