Frontken tingkatkan kapasiti kilang di Taiwan, tampung permintaan semikonduktor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Frontken tingkatkan kapasiti kilang di Taiwan, tampung permintaan semikonduktor

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 31 Okt – Frontken Corp Bhd merancang untuk menaiktaraf kilang semikonduktor miliknya di Taiwan bagi mengoptimumkan penggunaan ruang serta keupayaan pengeluaran.

 

Menurut syarikat itu, kerja-kerja tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat dalam beberapa bulan akan datang untuk memastikan operasi sedia ada tidak terganggu.

 

“Sasaran kami adalah untuk menyiapkan keseluruhan kerja berkenaan pada separuh pertama tahun depan.

 

“Penambahbaikan ini adalah antara persiapan bagi projek baharu serta  memenuhi permintaan pelanggan yang dijangka terus meningkat tahun depan,” kata Frontken dalam satu kenyataan.

 

Syarikat itu turut menyatakan keyakinan terhadap prospek industri semikonduktor memandangkan permintaan kekal kukuh, terutamanya dalam sektor kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran berprestasi tinggi.

 

Frontken berkata, perniagaan semikonduktornya terus menikmati momentum positif selari dengan permintaan sektor tersebut yang meningkat.

 

Syarikat itu menjelaskan pertumbuhan tersebut didorong sumbangan lebih tinggi daripada operasi di Taiwan dan Malaysia.

 

Menurut Frontken, jumlah dalam segmen semikonduktor meningkat disebabkan permintaan lebih tinggi serta kombinasi produk yang baik daripada pelanggan di Taiwan.

 

Selain itu, fasiliti Frontken di Kulim kembali beroperasi sepenuhnya selepas insiden kebakaran pada 2024, sekali gus menyumbang kepada prestasi bertambah baik.

 

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025, Frontken merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM45.83 juta berbanding RM35.32 juta pada suku yang sama 2024.

 

Hasil syarikat turut meningkat kepada RM161.87 juta daripada RM144.31 juta sebelumnya, manakala pendapatan sesaham bertambah kepada 2.89 sen berbanding 2.24 sen.

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, keuntungan bersih Frontken meningkat kepada RM110.39 juta berbanding RM98.71 juta dalam tempoh sama 2024.

 

Dalam tempoh tersebut, hasil kumpulan itu juga lebih tinggi iaitu RM450.86 juta berbanding RM419.75 juta bagi sebelumnya. - DagangNews.com