FMM gesa penjelasan segera, sokongan dasar kerajaan susulan cadangan AS kenakan tarif 100% ke atas cip semikonduktor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

FMM gesa penjelasan segera, sokongan dasar kerajaan susulan cadangan AS kenakan tarif 100% ke atas cip semikonduktor

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa penjelasan segera dan sokongan dasar yang lebih kukuh daripada kerajaan susulan cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan tarif sebanyak 100% ke atas cip semikonduktor yang diimport.

 

Cadangan tarif tersebut, yang akan mengecualikan syarikat yang menjalankan atau merancang untuk menjalankan pembuatan di AS, telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan firma semikonduktor berpangkalan di AS yang beroperasi di Malaysia, yang banyak bergantung kepada negara ini sebagai hab utama, kata FMM.

 

“Perubahan dasar yang dicadangkan ini telah menimbulkan kebimbangan segera dalam kalangan pengilang, ramai daripada mereka sedang mencari penjelasan segera sama ada operasi mereka yang berpangkalan di Malaysia kini akan termasuk dalam skop langkah baharu ini,” kata Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai dalam kenyataan media.

 

Semikonduktor sebelum ini dikecualikan daripada tarif timbal balik AS, tetapi pada Rabu, Presiden AS Donald Trump mengumumkan bahawa beliau akan mengenakan tarif sekitar 100% ke atas semua cip dan semikonduktor yang masuk ke AS, dengan hanya syarikat yang mengilang atau merancang untuk mengilang di AS dikecualikan.

 

Walaupun Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah memberikan jaminan awal bahawa pengecualian mungkin akan diberikan kepada beberapa syarikat AS di Malaysia, Soh menekankan keperluan pengesahan rasmi bagi mengelakkan pelaburan jangka panjang terjejas.

 

“Panduan yang jelas dan tepat pada masanya adalah penting bagi mengekalkan keyakinan pelabur dan mengelakkan gangguan kepada rantaian bekalan yang sangat bersepadu dengan pasaran AS dan global,” katanya.

 

FMM berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan rakan-rakan di AS untuk membantu pengilang Malaysia mengakses pasaran baharu, membentuk perkongsian dan meningkatkan integrasi rantaian bekalan, namun menegaskan bahawa proses pengembangan memerlukan modal yang besar.

 

Oleh itu, FMM menggesa kerajaan untuk memperkukuh dasar pelaburan domestik dan luar negara, khususnya dalam rangka pelaksanaan Strategi Semikonduktor Negara (NSS) yang sedang berjalan.

 

“NSS yang sedang dilaksanakan kini mesti dipacu dengan lebih segera dan fokus,” kata FMM, sambil menekankan keperluan pelaburan dalam reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan termaju, fabrikasi wafer, penyelidikan dan pembangunan, serta pembangunan bakat.

 

FMM turut menyeru agar langkah sokongan bersasar disediakan, termasuk pemudahan peraturan, perkhidmatan nasihat khusus, libat urus dua hala bagi melonggarkan halangan kemasukan pasaran, serta akses kepada pembiayaan.

 

Terdahulu pada Khamis, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memberitahu Parlimen bahawa Malaysia telah meminta butiran lanjut daripada AS berhubung rancangan mengenakan tarif 100% ke atas cip semikonduktor yang diimport. - DagangNews.com