FMM gesa kerajaan segera kuatkuasakan Akta Perolehan 2025, elak risiko ketirisan dalam perbelanjaan awam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

FMM gesa kerajaan segera kuatkuasakan Akta Perolehan 2025, elak risiko ketirisan dalam perbelanjaan awam

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Mei – Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan supaya segera melaksanakan Akta Perolehan Kerajaan 2025 (GPA) yang telah diluluskan Parlimen, susulan ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meningkat.

 

Menurut FMM, konflik berterusan di Asia Barat telah mengganggu laluan perkapalan antarabangsa yang meningkatkan kos pengangkutan dan insurans penghantaran secara ketara.

 

Situasi ini memberi tekanan langsung kepada sektor pembuatan Malaysia yang bergantung kepada bahan mentah serta komponen import dari luar negara.

 

 

 

 

 

 

FMM menyifatkan pelaksanaan Akta Perolehan Kerajaan 2025 sebagai sangat mendesak kerana ia melibatkan kecekapan penggunaan perbelanjaan awam negara.

 

Akta tersebut telah diluluskan di Dewan Rakyat pada Ogos 2025 dan di Dewan Negara pada September 2025, menjadikannya undang-undang khusus pertama Malaysia yang mengawal selia sistem perolehan kerajaan secara menyeluruh.

 

Bagaimanapun, akta itu masih belum berkuat kuasa kerana tarikh permulaan pelaksanaannya perlu diwartakan oleh Menteri Kewangan melalui Warta Persekutuan, dan perkara itu masih belum diumumkan.

 

FMM berkata kelewatan ini menimbulkan ketidakpastian kepada industri, khususnya berkaitan ketelusan serta keberkesanan sistem tender kerajaan.

 

Tender Lebih Telus

Menurut FMM, perolehan kerajaan merupakan antara komponen terbesar perbelanjaan awam yang melibatkan projek infrastruktur, perkhidmatan serta pelbagai program pembangunan negara.

 

“Justeru, pelaksanaan akta ini dilihat penting bagi memastikan proses tender lebih telus, berasaskan merit, serta mengurangkan risiko ketirisan dan salah guna kuasa,” kata FMM dalam satu kenyataan.

 

Akta tersebut juga dijangka menggantikan sistem lama yang bergantung kepada arahan Perbendaharaan dan pekeliling kewangan yang berasingan serta kurang konsisten.

 

Apabila dikuatkuasakan kelak, Akta Perolehan Kerajaan 2025 akan memperkenalkan rangka kerja undang-undang yang mewajibkan tender terbuka sebagai kaedah utama perolehan kerajaan.

 

FMM percaya sistem ini akan meningkatkan keyakinan pelabur kerana ia menunjukkan bahawa kontrak kerajaan diberikan secara adil dan berdasarkan kecekapan, bukan faktor lain yang tidak telus.

 

Beli Buatan Malaysia

Dalam masa yang sama, FMM mencadangkan pelaksanaan dasar “Beli Buatan Malaysia” diperluaskan di bawah akta tersebut bagi memperkukuh industri tempatan.

 

Cadangan itu termasuk mewajibkan laporan tahunan mengenai peratusan kontrak yang diberikan kepada syarikat tempatan, selain memastikan spesifikasi tender tidak mengecualikan pembekal tempatan yang layak.

 

 

 

 

 

 

FMM juga mencadangkan penambahbaikan sistem perolehan digital melalui platform berpusat, selain penyelarasan data antara agensi seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

 

“Selain itu, tempoh bayaran juga perlu disegerakan kepada pembekal, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), iaitu 30 hari bagi kontrak kecil dan 45 hari bagi kontrak besar,” katanya. - DagangNews.com