KUALA LUMPUR 30 Julai – Firefly, syarikat penerbangan serantau di bawah Malaysia Aviation Group (MAG), akan memindahkan operasi pesawat jetnya dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB), Subang ke Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), berkuat kuasa 19 Ogos ini.
Bagaimanapun, Firefly akan terus mengendalikan perkhidmatan pesawat turboprop dari Subang seperti biasa bagi mengekalkan sambungan ke destinasi-destinasi serantau utama.
Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail berkata, langkah strategik itu sejajar dengan pelan jangka panjang untuk mengoptimumkan rangkaiannya bagi meningkatkan kecekapan operasi dan menjamin kelestarian operasi jet Firefly.
“Pemindahan ke KLIA membolehkan Firefly mengembangkan operasi jet dengan lebih cekap, meningkatkan sambungan penumpang dan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan kumpulan seperti kejuruteraan, pengendalian darat dan katering.
“Subang akan terus menjadi sebahagian penting dalam rangkaian Firefly menerusi operasi turboprop yang menghubungkan pelbagai destinasi domestik dan serantau.
“Keputusan ini juga menunjukkan komitmen kami untuk memperkukuhkan peranan KLIA sebagai hab penerbangan utama negara dan memastikan perjalanan udara kekal mudah diakses di seluruh Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Firefly akan memulakan perkhidmatan jet dari KLIA dengan penerbangan sulung ke Tawau pada 19 Ogos 2025, diikuti pelancaran berperingkat ke destinasi utama lain iaitu Kuching dan Kota Kinabalu pada 21 Ogos diikuti Singapura, Johor Bahru, Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Sibu.
Tambahnya, Firefly juga akan meningkatkan kekerapan penerbangan dari KLIA ke Pulau Pinang daripada dua kali seminggu kepada enam kali seminggu bermula 23 Ogos ini sebelum dinaikkan kepada 10 kali seminggu menjelang November 2025.
“Kesemua penerbangan tersebut akan menggunakan pesawat Boeing 737-800, yang menawarkan kemudahan seperti bagasi daftar masuk percuma 10kg, elaun kabin 7kg dan hidangan ringan percuma dalam penerbangan,” katanya.
Sempena pelancaran ini, Firefly menawarkan tambang promosi sehala termasuk semua caj dengan harga bermula daripada RM58 dan tempahan kini dibuka kepada orang ramai. - DagangNews.com








